Hakim tegur peguam tanya soalan sama dalam prosiding kes Rosmah

Mahdzir (kiri), merupakan saksi pendakwaan kelima hadir di Mahkamah Tinggi bagi memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah Rosmah berhubung projek tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak. -Foto Bernama
Mahdzir (kiri), merupakan saksi pendakwaan kelima hadir di Mahkamah Tinggi bagi memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah Rosmah berhubung projek tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan hari ini memberi teguran kepada peguam utama, Datuk Jagjit Singh ekoran mengulangi soalan yang sama terhadap bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menjadi saksi pendakwaan kelima kes rasuah solar melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor.

Ia selepas Jagjit mengulangi bentuk soalan yang sama berhubung motif Mahdzir memberi keterangan di mahkamah bagi mengelakkan dirinya daripada tuduhan menerima rasuah.

Sebelum itu, Jagjit ada bertanya soalan sama apabila meminta Mahdzir mengesahkan bahawa dia memberi keterangan di mahkamah untuk mengelakkan dirinya daripada didakwa dengan tuduhan rasuah.

Namun Mahdzir dalam keterangannya terus menafikan dakwaan itu.

Hakim Zaini bertanya mengapa Jagjit mengulangi lagi soalan yang sama memandangkan soalan itu telah diajukan dan dijawab saksi sebelum ini.

Zaini kemudiannya bertanya berapa lama lagi masa yang dimahukan Jagjit untuk memeriksa balas Mahdzir.

"Tidak terlalu lama dalam sedikit masa lagi," kata Jagjit ketika prosiding perbicaraan.

Zaini kemudian menangguhkan perbicaraan dan ia disambung esok.

Artikel Berkaitan:

Rosmah, 68, tidak mengaku bersalah atas dakwaan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor.

Wang itu sebagai upah kerana membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Gense/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus dari Kementerian Pendidikan.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di tiga tempat berasingan iaitu Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Mac dan 7 September 2017.