Kastam patahkan cubaan tiga wanita seludup duit RM500,000

Mohamad (tengah) menunjukkan wang tunai RM dan TBH yang dirampas daripada tiga wanita yang memasuki negara ini melalui Pengkalan Hulu minggu lalu.
Mohamad (tengah) menunjukkan wang tunai RM dan TBH yang dirampas daripada tiga wanita yang memasuki negara ini melalui Pengkalan Hulu minggu lalu.
A
A
A

IPOH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk wang berjumlah RM500,000 di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (ICQ) Bukit Berapit, Pengkalan Hulu, Jumaat lalu.

Pengarah JKDM Perak, Dr Mohamad Saprin berkata, kejayaan itu susulan daripada pemeriksaan sebuah kereta jenis Honda Accord bernombor pendaftaran Thailand yang dinaiki tiga wanita berusia 40 hingga 51 tahun.

“Ketika pemeriksaan, wanita terdiri daripada dua warga Thailand dan seorang warga tempatan itu menjelaskan tiga beg dalam but dan tempat duduk hadapan itu mengandungi pakaian dan makanan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati ada wang kertas Ringgit Malaysia dan Thailand Baht disorok dalam beg tersebut yang tidak diikrarkan,” katanya dalam sidang media di Wisma Kastam Ipoh di sini hari ini.

Wang tunai pelbagai not dirampas daripada tiga wanita termasuk dua warga Thailand yang memasuki negara tanpa isytihar wang tersebut.
Wang tunai pelbagai not dirampas daripada tiga wanita termasuk dua warga Thailand yang memasuki negara tanpa isytihar wang tersebut.

Menurutnya, kesemua suspek direman untuk menyiasat motif dan penglibatan yang mungkin berkaitan dengan suatu sindiket itu.

“Siasatan lebih terperinci dijalankan dan penglibatan yang mungkin ada kaitan dengan sindiket ini. Mereka yang merupakan rakan niaga mengakui baru pertama kali melakukan perbuatan itu.

Artikel Berkaitan:

“Namun, kita akan semak rekod keluar masuk negara bagi ketiga-ketiga suspek. Kita juga akan siasat kemungkinan wang ini dibawa ke kawasan utara berikutan suspek warga tempatan itu berasal daripada Sungai Petani, Kedah,” katanya.

Mohamad berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 28(B)(1) Akta Pencegahan Penggubalan Wang Haram 2001 iaitu gagal isytihar amaun yang melebihi USD10,000 (RM41,320) semasa memasuki negara.

“Kes ini juga disiasat dibawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barangan larangan.

“Orang ramai diminta untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan termasuk kenderaan tanpa permit, rokok, minuman keras dan senjata api dengan menghubungi Bahagian Penguatkuasaan JKDM di talian 05-5272010,” katanya.