Baricitinib berpotensi bantu tangani koronavirus

GAMBAR rajah yang dikongsi oleh Dr Amalina menerusi Twitternya.
GAMBAR rajah yang dikongsi oleh Dr Amalina menerusi Twitternya.
A
A
A

SELAIN lebih 25 buah negara lain seperti Jepun, Singapura, Thailand dan Korea Selatan , Malaysia juga tidak terlepas daripada cabaran berhadapan wabak koronavirus (2019-nCoV) atau nama rasminya kini Covid-19.

Sehingga 7 Februari lalu, statistik Kementerian Kesihatan merekodkan 14 kes akibat jangkitan wabak itu di negara ini. Ternyata, virus agresif itu semakin menjadi kebimbangan orang ramai.

Oleh itu, pelbagai langkah pencegahan kini dilaksanakan agar virus berkenaan tidak menular ke dalam tubuh badan.

Baru-baru ini, pelatih pakar bedah warganegara Malaysia di United Kingdom, Dr Nur Amalina Che Bakri turut berkongsi pendapat dan pengetahuannya mengenai kaedah penularan wabak berkenaan menerusi laman Twitternya, @DrAmalinaBakri.



DR AMALINA CHE BAKRI
DR AMALINA CHE BAKRI

Katanya, 2019-nCoV menjangkiti sel manusia melalui satu genetik berkait dengan protein atau ACE2 reseptor yang mudah ditemui dalam sel paru-paru manusia.

Kongsi Dr Amalina lagi, terdapat satu kajian yang dibuat oleh Richardson pada tahun ini menunjukkan Baricitinib boleh digunakan sebagai rawatan kepada wabak berkenaan kerana diramalkan ia mampu mengurangkan keupayaan virus untuk menjangkiti sel paru-paru.

"Daripada kajian sebelum ini, reseptor yang menggunakan 2019-nCoV untuk menjangkiti sel-sel paru-paru mungkin ACE2.

Artikel Berkaitan:

"Protein berkenaan boleh didapati di sel-sel epitelium alveolar, buah pinggang, saluran darah dan jantung," katanya melalui penulisannya di Twitter, baru-baru ini.

Menurutnya, genetik yang berkait dengan protein atau AAK1 berfungsi mengawal endositosis iaitu proses menyerap sesuatu ke dalam sel.

Justeru, jelasnya, dengan menghalangnya, ia boleh mengganggu laluan ke dalam sel dan seterusnya mencegah jangkitan.

Dalam pada itu, Dr Amalina turut berkongsi gambar rajah kaedah virus daripada koronavirus yang boleh masuk ke dalam sel manusia dan bagaimana Baricitinib yang dikatakan berpotensi mengekang wabak berkenaan.

Bagaimanapun, jelas Dr Amalina lagi, kaedah itu diaplikasi menggunakan teori pembelajaran mesin (AI) daripada BenoveventAI yang berpangkalan di United Kingdom. Oleh itu, kajian lanjut perlu dilakukan bagi membuktikannya.