Cabar Akta MKN: Mahkamah Persekutuan enggan jawab soalan Anwar

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan di sini hari ini enggan menjawab persoalan Perlembagaan yang dikemukakan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kesahan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 (MKN).

Panel tujuh hakim dalam keputusan majoriti 5-2, memutuskan ia bukan kes yang sepatutnya bagi Mahkamah Persekutuan untuk menjawab persoalan Perlembagaan kerana soalan yang dirujuk adalah abstrak dan akademik.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan yang menyampaikan keputusan majoriti itu memerintahkan kes berkenaan dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi untuk dibatalkan.

Hakim Nallini berkata, ia tidak menunjukkan bahawa kes Anwar tergolong dalam kategori luar biasa.

“Tidak ada bukti kewujudan MKN dalam buku statut mengganggu kehidupan peribadi plaintif (Anwar) atau orang lain,” katanya.

Hakim Nallini berkata, satu-satunya fakta yang dinyatakan dalam saman pemula dan afidavit sokongan adalah dia telah dipenjarakan pada masa tindakan itu dilakukan dan dia melakukan tindakan itu sebagai warganegara Malaysia.

Beliau berkata, kandungan afidavit itu adalah semata-mata mengenai undang-undang, berkaitan pindaan kepada Perkara 66(4) Perlembagaan Persekutuan, penguatkuasaan MKN dan dakwaan tidak konsisten dengan peruntukan dan struktur asas Perlembagaan Persekutuan.

“Plaintif (Anwar) tidak menunjukkan bahawa haknya telah terganggu dengan pindaan peruntukan atau MKN,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel itu kemudian menetapkan 18 Februari bagi sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi.

Anwar memfailkan saman pemula itu pada 2016 untuk mencabar perlembagaan MKN, mendakwa pelaksanaannya adalah tidak berperlembagaan.

Beliau menamakan Majlis Keselamatan Negara dan kerajaan sebagai defendan.

Pada 14 Mac tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Anwar mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk merujuk perkara itu ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan empat persoalan Perlembagaan.

Sementara itu, Tengku Maimun berkata, rujukan Perlembagaan yang difailkan Anwar adalah tidak abstrak, akademik atau hipotetikal dan menambah kes itu adalah kes kepentingan awam yang dibawa ke mahkamah dengan pandangan untuk membuktikan kedaulatan undang-undang.

Beliau berkata, MKN dalam bidang hukum dan undang-undang, adalah undang-undang keselamatan, sepatutnya digubal mengikut Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan, dan menambah fakta itu tidak sepenuhnya digubal, bermakna ia melanggar Perkara 149, keseluruhan akta itu tidak berperlembagaan.

Sementara itu, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri David Wong Dak Wah dalam keputusannya berkata, perkara itu perlu dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi untuk mengeluarkan perintah dan relief yang sesuai.

Beliau berkata, Mahkamah Persekutuan bertanggungjawab untuk menjawab isu-isu Perlembagaan yang dirujuk.

David berkata, MKN adalah pencerobohan yang tidak seimbang terhadap hak untuk kebebasan pergerakan yang dijamin oleh Perkara 9 (2) Perlembagaan Persekutuan dan akta itu adalah tidak berperlembagaan.

Sementara itu, Anwar yang hadir prosiding mahkamah memberitahu pemberita, Parlimen harus mengkaji semula MKN kerana terdapat perbezaan pendapat yang jelas antara Hakim Tengku Maimun dan Hakim Wong.

Peguam J Leela mewakili Anwar, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Loke Yee Ching mewakili kerajaan. - Bernama