Motac bincang dengan beberapa kementerian bantu industri pelancongan

Mohammadin -Foto Bernama
Mohammadin -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (Motac) akan berbincang dengan beberapa kementerian berhubung cadangan untuk membantu industri pelancongan yang terjejas kerana wabak koronavirus.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, beberapa siri pertemuan dan perbincangan bersama pemain-pemain industri pelancongan telah diadakan baru-baru ini.

"Banyak syor yang telah diusulkan oleh pemain-pemain industri dan terdapat syor yang memerlukan kerjasama dengan kementerian-kementerian lain seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Antara syor tersebut ialah permintaan dari pemain industri agar pelaksanaan gaji minima ditangguh pelaksanaannya buat sementara waktu kerana kemerosotan pendapatan kalangan pemain industri.

Selain itu, pemain-pemain industri turut memohon syarikat perbankan agar memberikan kelonggaran kepada syarat pembayaran balik pinjaman pembelian bas-bas persiaran bermula tempoh pembayaran Februari sehingga masalah wabak koronavirus itu selesai.

Terdapat juga syor dan permohonan daripada pemain industri agar tarif elektrik di premis ditukarkan dari caj tarif komersial kepada caj tarif industri dan pengecualian yuran lesen Tour Operating Business and Travel Agency Business dan Tourist Guide bagi tahun 2020.

Turut dibangkitkan ialah permohonan pemberian insentif menerusi Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) kepada syarikat-syarikat yang menganjurkan acara perniagaan atau mesyuarat, insentif dan pameran (MICE) dalam negara.

Sehubungan itu, Mohamaddin berkata, kesemua syor tersebut sudah disampaikan kepada rakan sejawatnya di kementerian-kementerian yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Buat masa ini Motac akan konsisten melaksanakan kempen promosi pelancongan secara lebih agresif ke pasaran-pasaran alternatif," katanya.