X

Kindly register in order to view this article
!

Penggubalan kerangka perundangan diskriminasi gender masih berjalan

WAN AZIZAH. Foto: Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan masih dalam proses menggubal kerangka perundangan untuk menangani diskriminasi berasaskan gender, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Bagi tujuan itu, beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata sebanyak 16 sesi libat urus sudah diadakan membabitkan pelbagai pemegang taruh antaranya Kementerian Luar, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik berpengalaman yang mempunyai kepakaran berkaitan.

"Libat urus akan diteruskan lagi dengan melibatkan lebih ramai pihak yang berkepentingan. Diskriminasi tidak mengira gender, kita tak nak lah kata ada persaingan antara lelaki dan perempuan," katanya kepada media selepas merasmikan Hari Keselamatan Internet 2020 – Edisi Malaysia, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Eddin Syazlee Shith dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Suriani Ahmad.

Wan Azizah dalam pada itu berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang menumpukan kepada proses penggubalan Rang Undang-undang Gangguan Seksual yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada Mac tahun ini.

"Proses penggubalan kerangka perundangan untuk menangani diskriminasi berasaskan gender masih berjalan dan tumpuan penuh akan diberikan setelah RUU Gangguan Seksual selesai dibentangkan," katanya.

Wan Azizah pada bulan lepas dilaporkan berkata pengenalan akta berkaitan gangguan seksual antara keutamaan KPWKM pada tahun ini.

Antara elemen dalam draf rang undang-undang itu adalah definisi gangguan seksual yang menyeluruh, mekanisme pengaduan dan penyelesaian lebih efektif, elemen remedi dan penalti selain mengesyorkan standard pembuktian bersesuaian dan adil bagi semua pihak yang terbabit dalam kes aduan gangguan seksual. - Bernama