Idea Pakatan Nasional nak buat pemimpin PH berbalah: Mahfuz

Mahfuz menyampaikan pampasan Perkeso kepada Nor Hafizah di Taman Peruda hari ini.
Mahfuz menyampaikan pampasan Perkeso kepada Nor Hafizah di Taman Peruda hari ini.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Idea penubuhan Pakatan Nasional disifatkan permainan politik pihak tertentu bertujuan menimbulkan perbalahan antara kepimpinan Pakatan Harapan (PH).

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau percaya bahawa kepimpinan PH cukup matang untuk menepis dakyah terbabit yang sekadar mahu menimbulkan keresahan dan ketidakstabilan politik.

"Saya fikir bahawa ini semua sekadar menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat dan rakyat, kononnya berlaku ketidakstabilan dalam kerajaan memerintah.

"Keduanya ialah untuk menimbulkan perbalahan dalam kalangan pimpinan kerajaan PH," katanya kepada media ketika menyampaikan pampasan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada balu juruhebah KEDAHfm, Mohd Rizal Ismail di Taman Peruda hari ini.

Hadir sama, Pengarah Perkeso Negeri Kedah, Shaharuddin Waled dan Pengurus Perkeso Sungai Petani, Shukri Mohammad Daud.

Mahfuz (kanan) berkata sesuatu kepada Nor Hafizah (kiri) ketika hadir menyampaikan pampasan Perkeso di Taman Peruda hari ini.
Mahfuz (kanan) berkata sesuatu kepada Nor Hafizah (kiri) ketika hadir menyampaikan pampasan Perkeso di Taman Peruda hari ini.

Artikel Berkaitan:

Mahfuz yang merupakan Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, pembangkang juga dilihat tidak membincangkan Pakatan Nasional secara konsisten, sebaliknya saling bercanggah antara satu sama lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Pas konsisten sokong Tun M, UMNO enggan campur tangan

"Ada pula mengatakan UMNO tak mahu, ini tak dibincangkan secara 'masak', di mana terdapat bantahan dalam kalangan ahli UMNO yang tidak bersetuju untuk membentuk kerajaan Pakatan Nasional atau Barisan Nasional 2.0 dan Pas pula kata dia nak.

"Jadi masing-masing tak menunjukkan satu komitmen. Saya fikir bahawa biarlah mereka (pembangkang) bincang masak-masak, mereka nak bentuk kerajaan apa sebenarnya," katanya.

Ditanya sama ada besar kemungkinan terdapat perbincangan tentang Pakatan Nasional sebelum pilihan raya, beliau menjelaskan tidak mengetahui tentang perkara itu.

"Saya kira sebelum pilihan raya, apa yang mereka tidak kata kepada kepimpinan Tun (Dr Mahathir Mohamad)... tak layaklah, rosakkan negaralah tapi hari ini pakat-pakat 'sondol' pula," jelasnya.

Spekulasi mengenai pembentukan Pakatan Nasional tercetus selepas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam membuat pendedahan mengenai perkara itu menerusi laman sosial Facebooknya pada 3 Februari lalu.

Menerusi video dimuat naik itu, Lokman mendakwa terdapat perancangan UMNO untuk bekerjasama dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membentuk satu pakatan baharu ketika Mesyuarat Jawatankuasa Perhimpunan Muafakat Nasional UMNO yang berlangsung Isnin lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Zahid perlu letak jawatan, kata Lokman Adam

Terdahulu pada majlis tersebut, balu Mohd Rizal, Nor Hafizah Abdul Ghaffar, 35, menerima faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000 selain dia dan anak perempuannya, Nurul Qays Danisha, 5, turut menerima pencen penakat secara bulanan.

Mohd Rizal dilaporkan meninggal dunia pada 9 Februari lalu selepas disahkan mengalami pendarahan di kepala akibat strok.