X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Ahmad Zahid perlu letak jawatan, kata Lokman Adam

Ahmad Zahid (kiri) dan Lokman Adam
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu segera meletak jawatan dalam parti susulan ucapan beliau yang mahukan UMNO bekerjasama dengan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, ucapan Ahmad Zahid yang muncul tiba-tiba dalam mesyuarat Jawatankuasa Perhimpunan Muafakat Nasional UMNO yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman hari ini menggariskan empat sebab utama beliau mahu UMNO bekerjasama dengan Mahathir.

Menurutnya, empat sebab utama digariskan Ahmad Zahid meliputi keperluan UMNO menjaga Muafakat Nasional dengan UMNO kena ikut Pas bekerjasama dengan Dr Mahathir supaya tidak ketinggalan; demi menyelamatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak; kebimbangan UMNO diharamkan dan kesediaan beliau menggunakan kuasa veto sebagai Presiden sekiranya memerlukan.

"Saya amat malu hari ini kerana mempunyai seorang Presiden yang lemah dan tiada jati diri.

"Saya kira empat alasan diberikan Ahmad Zahid lebih bertujuan untuk menyelamatkan dirinya daripada 87 pertuduhan mahkamah dihadapi selain mahu kembali menjadi ahli Kabinet.

"33 pertuduhan beliau hadapi kini mendapat tawaran pilihan dengan hukuman lebih rendah. Ini juga boleh dianggap bukti jelas rundingan telah berlaku dan Ahmad Zahid kini sepatutnya melepaskan jawatan Presiden kerana secara jelas melanggar disiplin parti," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Lokman Adam berkata, sebagai sebuah parti keramat berusia 72 tahun, saranan Ahmad Zahid menegaskan UMNO perlu mengikut Pas menyokong Dr Mahathir sekali gus meninggalkan Najib yang sedang dianiaya adalah tidak masuk akal.

Menurutnya, alasan bekerjasama dengan Dr Mahathir demi menyelamatkan Najib atau lebih dikenali 'Bossku' juga tidak relevan kerana Ahmad Zahid tidak pernah dilantik sebagai perunding bagi menyelesaikan kes Najib sendiri.

"Malahan, 'Bossku' meminta agar UMNO tidak melibatkan diri dengan kesnya kerana beliau yakin berada di pihak benar dan mampu membuktikannya di mahkamah sekiranya mahkamah berlaku adil tanpa campur tangan politik.

"Selain itu, solusi UMNO terpaksa tunduk dan bekerjasama dengan Dr Mahathir bagi mengelakkan parti itu diharamkan dan akaun terus dibekukan juga dianggap lemah dan menguatkan desakan supaya Ahmad Zahid perlu segera letak jawatan parti," katanya.

Lokman Adam berkata, alasan Ahmad Zahid boleh menggunakan kuasa veto sebagai Presiden parti untuk berunding dengan Dr Mahathir sekiranya perlu juga diyakini dirancang beliau susulan keyakinan jumlah ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang menyokong Mahathir, dibiayai Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien serta ditekan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melebihi separuh jumlah keseluruhan MT.

Menurutnya, Ahmad Zahid sewaktu menyampaikan ucapan dasar Presiden UMNO semasa Perhimpunan Agung UMNO 2019 tahun lalu turut menekankan keputusan parti menolak sebarang usaha pembentukan kerajaan baharu melalui 'pintu belakang'.

"Ucapan dasar Ahmad Zahid ini telah dibahas dan diterima oleh perwakilan Perhimpunan Agung UMNO secara sebulat suara. Sebarang usaha untuk mewujudkan kerajaan pintu belakang, gabungan dengan mana-mana parti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) wajib mendapat kelulusan ahli akar umbi melalui Perhimpunan Agung Khas.

"Tindakan Ahmad Zahid jelas telah melanggar disiplin parti dan mengenepikan suara akar umbi UMNO," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!