Rekaan arca inspirasi filem animasi

Kevin menunjukkan arca animasi Minions yang dihasilkan di bengkelnya di Kampung Tambalugu, Tuaran dan dijual pada harga RM60. -Foto Bernama
Kevin menunjukkan arca animasi Minions yang dihasilkan di bengkelnya di Kampung Tambalugu, Tuaran dan dijual pada harga RM60. -Foto Bernama
A
A
A

TUARAN - Gemar menonton filem animasi, selain minat mendalam mencipta robot menyebabkan seorang pemuda sanggup mengorbankan zaman remaja beliau untuk belajar kimpalan daripada ayahnya sebelum menjadi pereka arca besi dikenali ramai di daerah ini.

Kevin Chin Yung Cheng, 28, bekas pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ken Hwa, Keningau pada 2005 kini dikenali sebagai pereka arca menerusi bengkel besi yang diwarisi daripada ayahnya di Kampung Tambalugu di sini sejak 2014.

“Sejak zaman kanak-kanak, saya gemar menonton filem animasi terutama yang mempunyai watak robot. Saya cukup tertarik dengan watak animasi robot hingga saya menyimpan hasrat untuk mencipta arca robot apabila saya dewasa.

“Ketika belajar di Tingkatan Tiga, saya sering melihat ayah, Chin Su Pin, 61, yang juga seorang peminat benda bergerak mencipta pelbagai arca seperti kincir angin dan kapal terbang,” katanya di sini baru-baru ini.

Kevin yang terlalu minat mencipta arca mengambil keputusan belajar setakat Tingka-tan Tiga untuk menceburi bidang pembuatan arca sepenuh masa selepas memperoleh kemahiran kimpalan.

“Rekaan pertama saya ialah arca naga dan animasi Minions ketika mula menceburi bidang ini lima tahun lalu. Sejak itu, saya terus membuat pelbagai rekaan robot.

“Arca rekaan saya banyak ditempah untuk dijadikan hia-san sekolah dan landskap di Tuaran yang dijual pada harga RM60 hingga RM1,500 untuk sebuah arca,” katanya.

Anak ketiga daripada empat adik-beradik yang berasal dari Keningau dan menetap di Tuaran itu turut mahir membina jeriji besi untuk bangunan.

Artikel Berkaitan:

Kevin berkata, dia mendapat idea mencipta arca robot bersaiz besar setiap kali selesai menonton filem animasi.

Arca robot terbaharu re-kaannya menggunakan komponen besi buruk,tong dram kosong dan paip dijadikan penunjuk arah lokasi bengkel besinya di Jalan Kota Kinabalu-Tamparuli berhampiran Kampung Tambalugu, Tuaran.

Beliau mengakui hobi mencipta pelbagai arca besi itu tidak memerlukan modal besar kerana sebahagian besar bahan asas yang digunakan terdiri daripada besi buruk dan mudah diperoleh di Tuaran.

Kevin berharap hasil karya seni arca rekaannya akan mendapat tempat di hati masyarakat dan membuka minda generasi muda untuk berinovasi. - Bernama