Percikan api kerja kimpalan dipercayai punca letupan di Narathiwat

Orang ramai melihat kesan rumah yang musnah sehari selepas letupan di sebuah gudang mercun di wilayah Narathiwat pada Ahad. - Foto AFP
Orang ramai melihat kesan rumah yang musnah sehari selepas letupan di sebuah gudang mercun di wilayah Narathiwat pada Ahad. - Foto AFP
A
A
A

NARATHIWAT - Percikan api daripada kerja-kerja kimpalan dipercayai punca kepada letupan kuat di sebuah gudang mercun dan piroteknik di wilayah Narathiwat, selatan Thailand, yang mengorbankan sembilan orang dan mencederakan 117 yang lain,

Letupan pada pukul 3.30 petang (waktu tempatan) di Mundok, Sungai Kolok memusnahkan lebih 200 rumah dan kedai, serta 15 kenderaan. Jumlah kerugian dianggarkan 100 juta baht.

Setakat ini tiada rakyat Malaysia terlibat dalam letupan itu.

Gabenor Narathiwat, Sanan Pongaksorn berkata, sembilan terbunuh dalam kejadian itu termasuk seorang bayi berusia lapan bulan, kakaknya empat tahun dan ibu mereka berusia 28 tahun.

Selain itu, beliau berkata, seorang wanita warga Indonesia berusia 36 tahun adalah antara 117 yang cedera dalam kejadian itu.

"Siasatan awal menunjukkan bahawa percikan api daripada kerja-kerja kimpalan bagi memasang kabinet baharu di situ, dipercayai menyebabkan letupan.

"Lebih 365 keluarga terjejas akibat letupan itu. Kerajaan akan memberi pampasan kepada keluarga yang anggota keluarga mereka terkorban dalam kejadian itu dan mereka yang cedera,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, tujuh daripada mangsa dikebumikan dalam satu liang lahad pada malam Jumaat, manakala identiti dua lagi masih menunggu keputusan ujian DNA.

Sanan berkata, 10 lagi mangsa yang mengalami kecederaan masih menerima rawatan di Hospital Sungai Kolok.

"Lebih 1,000 sukarelawan dan pegawai berada di lapangan membantu penduduk tempatan membersihkan serpihan akibat letupan itu,” katanya.

Gudang itu dilaporkan menyimpan sejumlah besar bahan letupan.

Foto dan video menunjukkan letupan itu memusnahkan kawasan besar di sekeliling gudang.

Sementara itu, Panglima Wilayah Tentera Keempat, Lt Jen Santi Sakuntanark berkata pasukan petugas khas (pasukan siasatan khas) ditubuhkan untuk menyiasat kejadian itu.

"Kami akan memanggil pemilik gudang sebaik dia pulang dari luar negara,” katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Sekurang-kurangnya 10 maut, 110 cedera letupan di Narathiwat

'Saya ingat rumah kena bom'

Letupan di Mundok, Thailand gegarkan Bukit Lata