Guan Eng dakwa Pas keliru

Guan Eng (tengah) bersama kepimpinan utama Kastam menggaul yee sang sebagai simbolik perasmian Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2020 pagi tadi.
Guan Eng (tengah) bersama kepimpinan utama Kastam menggaul yee sang sebagai simbolik perasmian Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2020 pagi tadi.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Pas didakwa keliru dengan peranannya sebagai parti pembangkang berhubung hasrat untuk mengemukakan usul menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula bulan depan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, tindakan bakal dilakukan Pas itu dianggap terbalik berikutan undi percaya biasanya diusulkan parti kerajaan.

Beliau juga mengakui tidak faham dengan sikap Pas itu kerana pihak terlibat tidak menyokong usul Perdana Menteri sendiri untuk meminda Perlembagaan dalam perkara berkaitan memulihkan status Sabah dan Sarawak.

"Kalau kita lihat gelagat Pas ni, mereka seperti keliru sama ada mereka pembangkang ataupun kerajaan kerana pembangkanglah yang selalunya akan buat undi tidak percaya," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2020 Jabatan Kastam Diraja Malaysia di sini pagi tadi.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Paddy Abd Halim; Pengarah Kastam Pulau Pinang, Datuk Saidi Ismail dan Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Datuk Johari Alifiah.

Sementara itu, Guan Eng yang juga Menteri Kewangan turut membidas kerajaan Kelantan pimpinan Pas selepas membuat beberapa perkara di luar kemampuan termasuk memberikan bonus RM50,000 kepada Exco kerajaan negeri itu dan juga pembelian 14 buah kereta mewah, Mercedes Benz untuk kegunaan rasmi pimpinan kerajaan negeri.

Katanya, berbeza dengan kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini yang memutuskan untuk memotong gaji menteri sebanyak 10 peratus bagi membantu usaha memulihkan keadaan fiskal dan kewangan negara.

"Apa yang dibuat oleh kerajaan Kelantan sesuatu yang tak pernah berlaku tambahan pula mereka tidak mampu untuk membayar gaji warga perkhidmatan di negeri itu tetapi boleh pula beli kereta mewah dan beri bonus RM50,000 kepada ahli Exco.

Artikel Berkaitan:

"Pas keliru dengan apa yang mereka perlu buat dan apa yang tidak sepatutnya dilakukan," katanya.