Setiap hari hidu tahi ayam

Punca pencemaran sungai dapat dilihat pertembungan air sungai yang jernih dan sisa najis.
Punca pencemaran sungai dapat dilihat pertembungan air sungai yang jernih dan sisa najis.
A
A
A

TAIPING - Lebih 100 penduduk Kampung Sungai Limau, Batu 10, Trong di sini, terpaksa 'berperang' dengan lalat dan bau busuk akibat pencemaran sungai didakwa kesan aktiviti penternakan ayam di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran sejak beberapa bulan lalu.

Sungai yang menjadi sumber pendapatan kepada sebahagian penduduk mula bertukar hitam dan berbau kesan pembuangan sisa najis ayam.

Penduduk, Hamidah Zakaria, 59, berkata, dia yang bekerja sebagai pencari lokan terpaksa mengharungi sungai berbau gas ammonia itu untuk mencari rezeki di muara sungai.

Hamidah Zakaria
Hamidah Zakaria

"Kami bersampan untuk ke laut dan setiap kali turun laut dan pulang ke jeti, terpaksa menghidu najis ayam.

"Bila enjin tersangkut kayu atau rumput, nak tak nak kami kena seluk tangan untuk buang. Geli dan disebabkan itu kulit tangan dan kaki kami terasa gatal-gatal," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini hari ini.

Penduduk Kampung Sungai Limau tidak tahan dengan bau busuk dari sungai berhampiran rumah mereka.
Penduduk Kampung Sungai Limau tidak tahan dengan bau busuk dari sungai berhampiran rumah mereka.

Menurutnya, keadaan itu tidak pernah berlaku sehinggalah ladang ayam itu mula membuang sisa najis melalui parit berhampiran.

Artikel Berkaitan:

"Hasil laut seperti lokan, siput, umpun-umpun pun makin berkurangan. Air sungai makin lama makin kehitaman. Sudah beberapa bulan keadaan begini hinggakan tidak lalu nak makan.

"Tingkap rumah sentiasa tutup, memang hidu sampai ke malam. Kami juga malu menerima tetamu kerana bau busuk dan lalatnya," katanya.

Mohd Shaharizal Zaini, 39, pula berkata, mereka mahu pihak terlibat dapat membantu untuk menangani isu yang mula melarat dan dikhuatiri boleh menyebabkan penyakit.

"Kami berharap sangat pihak berkuasa dapat lihat keadaan kampung kami. Lihatlah air sungai tahun lepas, anak-anak boleh mandi tetapi sekarang geli melihatnya.

"Jika dibiarkan masalah ini berlarutan tanpa kawalan, ia dikhuatiri boleh menimbulkan penyakit dan berharap tindakan tegas dapat diambil untuk mengatasinya," katanya.

Mohd Shaharizal Zaini
Mohd Shaharizal Zaini

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Trong, Jamilah Zakaria berkata, pihaknya berharap Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak mengambil pendekatan proaktif untuk memeriksa proses pengurusan sisa-sisa najis ayam yang disalurkan terus ke dalam parit.

"Penduduk yang terjejas ialah nelayan dan sungai inilah nadi kehidupan penduduk di mana mereka mencari hasil laut.

"Apabila kita menjejaki punca pencemaran, ia dipercayai dari ladang ayam dalam ladang kelapa sawit ini. Najis yang terkumpul inilah yang membebaskan gas ammonia," katanya.

Jamilah (kiri) melihat punca pencemaran sungai disyaki hasil pembuangan sisa najis ayam dari sebuah ladang berhampiran.
Jamilah (kiri) melihat punca pencemaran sungai disyaki hasil pembuangan sisa najis ayam dari sebuah ladang berhampiran.

Katanya, pihaknya tidak membantah perniagaan itu, namun pemilik tersebut perlu mengurus ladang dengan baik mengikut garis panduan ditetapkan.

"Tidak adil penduduk kampung menerima kesan di sebalik sesuatu perniagaan kerana tidak mengurus dengan baik sisa najis hingga mencemarkan sungai.

"Kita tidak pasti sama ada ladang itu berlesen atau tidak kerana ia dibina di kawasan persendirian. Mohon pihak veterinar dan penguat kuasa terlibat bantu penduduk kampung yang setiap hari hidu gas ammonia," katanya.

Dahulu Sungai Limau yang jernih bertukar kehitaman selepas dicemari dengan najis ayam dari ladang berhampiran.
Dahulu Sungai Limau yang jernih bertukar kehitaman selepas dicemari dengan najis ayam dari ladang berhampiran.