Dua premis diserbu jual topeng muka melebihi harga kawalan

Dua premis berasingan di Kuala Pilah diserbu KPDNHEP kelmarin.
Dua premis berasingan di Kuala Pilah diserbu KPDNHEP kelmarin.
A
A
A

KUALA PILAH - Sebanyak 90 unit topeng muka tiga lapis (ear & head loop) dirampas di dua premis berasingan di sini kerana menjual barangan tersebut melebihi harga kawalan, kelmarin.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, premis tersebut didapati menjual harga topeng muka itu dengan harga RM1 berbanding harga kawalan 80 sen seunit.

"Kedua-duanya telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan kerana menjual barangan harga terkawal selain mengikut harga maksimum pengeluar, borong dan runcit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, sekiranya didapati bersalah, pelaku boleh didenda tidak lebih RM500,000 untuk kesalahan kali pertama, manakala denda RM1 juta bagi kesalahan kali kedua untuk perbadanan.

Sebaliknya, jika ia bukan perbadanan atau milikan tunggal, denda dikenakan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, manakala untuk kesalahan kali kedua, denda dikenakan tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu katanya, serbuan dilakukan berdasarkan aduan diterima pihaknya mengenai kegiatan tersebut di Kuala Pilah.

"Bagaimanapun, kami memberi tawaran kompaun kepada pemilik premis sebanyak RM10,000 yang perlu dijelaskan dalam tempoh 14 hari bermula kelmarin," katanya.

Artikel Berkaitan: