PM tak sebut tuduhan rasuah ke atas AirAsia transaksi 'offset'

Dr Mahathir - Foto Bernama
Dr Mahathir - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan menjelaskan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah menyatakan tuduhan pemberian rasuah ke atas AirAsia adalah transaksi ‘offset’.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Dr Mahathir pada sidang akhbar semalam mengulas mengenai dakwaan rasuah bernilai RM240 juta melibatkan AirAsia dengan syarikat pembuat kapal terbang, Airbus.

“Menjawab soalan daripada pihak media, beliau menekankan bahawa ia adalah prosedur biasa untuk kerajaan meminta ‘offset’ di dalam pembelian berharga tinggi. Beliau tidak pernah menyatakan AirAsia mendapat manfaat daripada prosedur ini.

“Perdana Menteri menambah, jika wang disalurkan kepada individu maka ia adalah rasuah. Jika bukan untuk kepentingan peribadi, maka beliau berpandangan ia bukanlah rasuah,” kata kenyataan itu hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Rasuah jika timbal balas diguna untuk diri sendiri: Tun M

Laporan media bahawa Perdana Menteri mengatakan tuduhan pemberian rasuah ke atas AirAsia adalah transaksi ‘offset’ tidak tepat dan mengelirukan.

“Pejabat Perdana Menteri memandang serius laporan yang tidak tepat dan tidak mencerminkan kenyataan sebenar Perdana Menteri.

“Pejabat Perdana Menteri ingin menasihati pihak media supaya lebih sensitif dan bertanggungjawab kerana berita yang tidak tepat akan menimbulkan kesan yang tidak baik ke atas pemahaman orang ramai mengenai sesuatu isu,” kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, kenyataan tersebut turut menyebut Dr Mahathir menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menentukan sama ada ia adalah rasuah ataupun tidak.

ARTIKEL BERKAITAN: Skandal Airbus: Kerajaan tidak campur tangan siasatan SPRM