Krisis bekalan air: Kaji semula perjanjian lapuk

Singapura membayar sebanyak 3 sen untuk 1,000 gelen air mentah dari Malaysia.
Singapura membayar sebanyak 3 sen untuk 1,000 gelen air mentah dari Malaysia.
A
A
A

SHAH ALAM - Tokoh undang-undang dan pakar industri air menyarankan kerajaan melakukan kajian terhadap perjanjian lapuk seperti Perjanjian Air Malaysia-Singapura yang sudah dianggap tidak munasabah pada ketika Malaysia sendiri bakal berdepan dengan krisis air.

Pakar undang-undang, Profesor Datuk Salleh Buang tanpa berselindung menyatakan beliau bersetuju sekiranya perjanjian yang turut dikenali Perjanjian Sungai Johor 1962 itu dirunding semula.

“Perjanjian yang kita buat itu dalam tempoh, zaman yang telah lama berlalu. Jadi, logiknya bila ada perubahan atau sesuatu keadaan, memang ada asasnya untuk kedua-dua negara berunding semula.

“Saya setuju kalau Malaysia runding semula. Apa-apa perjanjian baik negara kita atau negara lain yang dah lama, dah lapuk, dah usang, dibuat pada zaman dulu memang wajar dirunding semula,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Salleh Buang
Salleh Buang

Mengulas mengenai kadar 3 sen yang dikenakan Malaysia, Salleh merasakan kadar tersebut tidak munasabah, namun disebabkan perjanjian yang dimeterai itu, Malaysia terpaksa menerimanya.

Artikel Berkaitan:

“Memang mengikut perkiraan kita, kadar 3 sen untuk 1,000 gelen air itu tidak logik dan tidak munasabah. Cuma disebabkan ikatan perjanjian itu, kalau seberang sana tidak mahu berubah, tidak mahu berganjak, dia memang ada hak begitu sebab itu memang ada dalam perjanjian.

“Cuma kita mengharapkan Singapura lebih munasabah,” katanya.

Bagaimanapun, Salleh menegaskan sekiranya kedua-dua negara bersetuju untuk melakukan rundingan semula, mereka perlu memastikan wujudnya situasi menang-menang buat kedua-dua negara.

“Saya tahu Malaysia memang berhasrat dan rakyat pun mahu ia dirunding semula. Soalnya sekarang adakah Singapura akan bersetuju.

“Kita nak ajak orang berunding, kita perlu beritahu apa kita boleh beri supaya mereka datang dan dua-dua dapat situasi menang-menang,” katanya.

Berdasarkan rekod, Malaysia telah menggerakkan usaha untuk mengkaji semula harga air mentah yang dijual kepada Singapura sejak tahun 1998.

Menteri Luar, Saifuddin Abdullah sendiri baru-baru ini mendedahkan Malaysia menanggung subsidi berjumlah RM2.4 bilion sejak perjanjian itu dimeterai, bersamaan dengan RM42 juta setahun atau RM100,000 sehari apabila menjual air ke Singapura.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Sains Samudera dan Bumi Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah turut senada dengan Salleh yang mahukan perjanjian itu dikaji semula.

Dr Azizan Abu Samah
Dr Azizan Abu Samah

Menurutnya, mengambil kira harga air kini yang semakin meningkat jika dibandingkan pada 1962, beliau merasakan sepatutnya Malaysia menjual air mentah ke Singapura pada harga yang lebih tinggi.

“Saya memang setuju kalau kita runding semula perjanjian ini. Mengapa kita menjual pada kadar rendah sedangkan rakyat kita sendiri bayar mahal. Sepatutnya kita menjual air mengikut harga pasaran,” katanya.

Jelasnya, perjanjian tersebut mungkin kelihatan baik pada zaman ia dimeterai namun selepas beberapa dekad, ia perlu dikaji semula.

ARTIKEL BERKAITAN: Teroka teknologi simpan air hujan

Amaran krisis bekalan air

Bil air lebih mahal jika guna teknologi lebih canggih

Perjanjian air: Malaysia berhak semak selepas 25 tahun

Bekalan air di Perlis hanya bertahan empat bulan

Sudah tiba masa Malaysia bertegas dengan Singapura

Malaysia mahu RM3 bukan 3 sen