Sarawak hargai usaha PM bawa LTdL ke Borneo

Dr Mahathir - Foto Bernama
Dr Mahathir - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Kerajaan Negeri Sarawak sangat menghargai usaha Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membawa semula perlumbaan basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 ke Borneo selepas 23 tahun 'menyepi' dari kalendar sukan itu.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, edisi LTdL kali ini cukup bermakna bagi negeri ini untuk menjadi sebahagian dari siri perlumbaan penjelajahan selepas kali terakhir menyertainya pada 1997.

“Kita cukup berbangga sekali dengan perlumbaan ini dan tahun ini amat bermakna sekali buat warga Borneo apabila Sabah dan Sarawak kembali dimasukkan dalam dalam siri perlumbaan kali ini.

“Saya mewakili Sarawak mengucapkan setinggi penghargaan kepada Perdana Menteri atas usaha ini,” katanya pada sidang media selepas pelepasan peserta LTdL2020 di Padang Merdeka, hari ini.

Beliau berkata Sarawak sentiasa bersedia menerima apa sahaja cadangan dari Kerajaan Persekutuan untuk penganjuran atau pertandingan di peringkat antarabangsa yang antara lain dapat merapatkan lagi integrasi di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abd Rahman berkata pihaknya akan berbincang dengan pihak penganjur untuk mengekalkan Sarawak sebagai antara peringkat perlumbaan pada musim akan datang.

ARTIKEL BERKAITAN: Koronavirus: Penganjur LTdL 2020 sedia hadapi sebarang kemungkinan

“Saya pun berharap Sarawak akan kekal menjadi venue pilihan LTdL kerana kita mahu ianya dinikmati bukan sahaja di semenanjung tetapi juga di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Seramai 123 pelumba professional beraksi pada perlumbaan peringkat kedua hari ini, melibatkan jarak sejauh 96.2 kilometer. - Bernama