Koronavirus: Penganjur LTdL 2020 sedia hadapi sebarang kemungkinan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020, Human Voyage telah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan mengambil langkah tambahan bagi memastikan Peringkat Borneo yang bermula minggu ini, berjalan dengan lancar.

Pasukan, pelumba, pegawai dan tetamu dijangka akan tiba di Kota Kinabalu pada Ahad untuk Pengenalan Pasukan rasmi, dan juga perlumbaan Kriterium Antarabangsa Kota Kinabalu yang masing-masing dijadualkan pada 5 dan 6 Februari.

Ketua Pegawai Eksekutif Human Voyage Shahaizereen A Hamid berkata, pihak penganjur telah mengambil langkah-langkah tambahan bagi memastikan kesemua aspek penganjuran perlumbaan, termasuk langkah keselamatan kesihatan dalam tempoh penularan novel koronavirus 2019 (2019-nCov) yang berlaku.

Katanya, perincian pengangkutan udara dan darat pasukan, pegawai dan keseluruhan rombongan pengiring ke Kota Kinabalu dan Kuching telah diteliti, bagi mengelakkan sebarang masalah logistik.

“Semua pihak berkaitan termasuk agensi tempatan telah tahu tanggungjawab masing-masing. Kami akan bersedia untuk sebarang kemungkinan, dan kami berharap untuk menyediakan satu persekitaran yang selamat untuk kesemua pelumba, pegawai dan keseluruhan pengiring,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sejumlah 21 pasukan telah mengesahkan penyertaan pada edisi ke-25 tahun ini, yang bermula dengan perlumbaan Kriterium Antarabangsa di Padang Merdeka, Kota Kinabalu pada 6 Februari.

Perlumbaan kriterium itu yang diadakan buat pertama kali bersempena sambutan ke-25 Jubli Perak LTdL tahun ini, sebelum Peringkat pertama perlumbaan bermula pada 7 Februari di Padang Merdeka, Kuching.

Sejak edisi pertama pada 1997, LTdL berkisar pada laluan semenanjung dengan Kuala Lumpur dan Langkawi masing-masing sebagai tempat permulaan dan penamat perlumbaan.

Artikel Berkaitan:

Pasukan yang telah mengesahkan penyertaan mereka pada edisi tahun ini termasuklah satu pasukan World Tour, lima Pro Continental, 14 pasukan Continental dan satu pasukan kebangsaan (Malaysia).

Dua pasukan berpusat di China - Hengxiang dan Giant Racing - telah menarik diri daripada perlumbaan akibat wabak virus di Wuhan.

Juara keseluruhan tahun lepas Benjamin Dyball (bekas pelumba Pasukan Sapura Cycling) tidak akan mempertahankan Jersi Kuningnya selepas dilamar pasukan NTT Pro Cycling, sebuah pasukan bertaraf World Tour yang berpusat di Afrika Selatan.

Tiga pasukan dari Itali akan menunjukkan taring mereka, manakala Perancis, Jepun, Indonesia, Korea dan Australia akan mempunyai wakil masing-masing dalam perlumbaan tahun ini.

Perlumbaan 10 hari dari 6 hingga 15 Februari akan meliputi jarak sejauh 1,114.9 kilometer merentasi lapan negeri iaitu Sabah, Sarawak, Terengganu, Pahang, Selangor, Perak, Penang, Kedah dan dua Wilayah Persekutuan; Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Pasukan yang telah mengesahkan penyertaan (sehingga 2 Februari):

NTT Pro Cycling Team (RSA)

Androni Giacatolli-Sidermec (ITA)

Bardian CSF Fanzane (ITA)

Nippo Delko One Provence (FRA)

Vini Zabu KTM (ITA)

B&B Hotels-Vital Concept (FRA)

Aisan Racing Team (JPN)

Team Bridgelane (AUS)

PGN Cycling Team (INA)

KSPO Professional (KOR)

ARA Pro Racing Sunshine Coast (AUS)

SSOIS Miogee Cycling Team (CHN)

St George Continental Team (AUS)

Team Sapura Cycling (MAS)

Terengganu Inc. TSG Cycling Team (MAS)

Thailand Continental Team (THA)

Vino-Astana Motors (KAZ)

Wildlife Generation Pro Cycling (USA)

Utsunomiya Blitzen (JPN)

HKSI (Hong Kong)

Pasukan Kebangsaan Malaysia- Bernama