PKNS anjur perlumbaan basikal antarabangsa pertama di Selangor

No Image Caption
A
A
A

PERBADANAN Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bakal menganjurkan Selangor International Race 2023 perlumbaan berbasikal antarabangsa pertama di Selangor pada 25 Jun depan.

Acara julung kali itu bertujuan mempromosikan Selangor sebagai hab sukan selaras aspirasi PKNS ‘Membina Kehidupan Yang Lebih Baik’ bagi mendorong gaya hidup sihat dalam kalangan orang ramai demi pembangunan rakyat negeri ini.

Selain menyokong usaha kerajaan negeri dalam mempromosikan pelancongan sukan di Selangor, acara ini juga bertujuan memperkenalkan pusat pertumbuhan dibangunkan PKNS serta projek pembangunan perbadanan itu.

Perlumbaan berbasikal ini akan membawa peserta melalui laluan sejauh 130 kilometer (km) yang melewati bandar-bandar di sekitar Selangor.

Bermula di Bangunan Ibu Pejabat PKNS di Shah Alam, laluan merangkumi permukaan muka bumi beralun dengan kawasan lapang rata sepanjang 30km dan terdedah kepada keadaan berangin.

Peserta akan melewati beberapa mercu tanda terkenal di Selangor sepanjang perlumbaan seperti pekan Batu Arang yang terkenal dengan perlombongan arang batu suatu ketika dahulu.

Selain itu, Selangor Fruit Valley dan Kampung Kuantan yang terkenal sebagai destinasi pelancongan yang tidak asing lagi dengan aktiviti melihat kelip-kelip selain perbandaran Kota Puteri.

“PKNS sangat teruja untuk menjadi tuan rumah acara perlumbaan berbasikal antarabangsa ini dan berbesar hati untuk menyambut peserta dari seluruh dunia.

“Acara ini tidak hanya mempromosikan pelancongan sukan di Selangor tetapi juga dijangka akan memberi faedah pertumbuhan ekonomi bagi Shah Alam dan kawasan sekitarnya.

“Kami berharap perlumbaan ini akan berjaya dan dapat menarik lebih ramai peserta pada masa hadapan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas yang akan membuat pelepasan peserta semasa perlumbaan itu.

PKNS juga mengalu-alukan semua peminat dan pelumba sukan berbasikal profesional untuk menyertai perlumbaan ini bagi merasai pengalaman melihat keindahan dan kepelbagaian landskap Selangor.

Perlumbaan ini terbuka kepada semua pelumba profesional dan amatur, termasuk kategori junior, lelaki dan wanita berumur 16 tahun ke atas bagi merebut empat hadiah utama melebihi USD4,000, dengan setakat ini, seramai 950 peserta telah mendaftar bagi acara ini.

Bagi merasai bahang kehangatan acara ini, para peminat sukan itu boleh mengunjungi Bangunan Ibu Pejabat PKNS untuk menyertai klinik berbasikal, bengkel dan mengunjungi gerai pameran dari jam 10 pagi hingga 6 petang pada Sabtu, 24 Jun.

Sementara peserta boleh mengambil kit perlumbaan di Blok B, Bangunan Ibu Pejabat PKNS dari jam 10 pagi hingga 6 petang hari sama.

Untuk maklumat lanjut boleh layari http://selangorrace.com.