Polis terima laporan wanita mengamuk kereta ditarik

Rakaman video kejadian yang berlaku di Bandar Baru Sungai Buloh, Seksyen U20, semalam, tular di media sosial.
Rakaman video kejadian yang berlaku di Bandar Baru Sungai Buloh, Seksyen U20, semalam, tular di media sosial.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Polis menerima laporan daripada pembantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berhubung tindakan seorang wanita yang mengamuk dan bertindak agresif ketika kereta miliknya ditarik penguat kuasa dalam kejadian di Bandar Baru Sungai Buloh, Seksyen U20 di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, kejadian kira-kira jam 12.12 tengah hari itu berlaku ketika anggota penguat kuasa MBSA dari unit tunda membuat tindakan kompaun dan penundaan sebuah kenderaan jenis Nissan Almera kerana diletakkan di sisi jalan.

Menurutnya, semasa proses penundaan dilakukan, pemilik kereta terbabit telah datang ke arah anggota penguat kuasa terbabit lalu bertindak agresif dengan memaki hamun, menolak dan meludah.

"Orang awam yang cuba menenteramkan wanita tersebut juga diludah dan dikasari.

"Wanita terbabit juga mengugut akan bersikap lebih agresif sekiranya anggota terbabit tidak melepaskan kenderaannya. Bimbang perkara tidak diingini berlaku, kenderaan itu telah dilepaskan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan dan wanita terbabit sudah dikenal pasti untuk tangkapan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Semalam, video kejadian terbabit tular di media sosial dan menerima pelbagai reaksi daripada netizen.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Wanita mengamuk kereta ditarik