Pemandu teksi di Melaka bakal terima caruman Perkeso

A
A

MELAKA - Pemandu teksi berdaftar di Melaka dijangka menerima insentif dalam bentuk caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) daripada kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Exco bagi Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri Mohd Sofi Abdul Wahab berkata perkara itu sedang dibincangkan secara terperinci oleh pihak terlibat dan akan dibawa untuk diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak lama lagi.

“Hasil beberapa siri pertemuan yang dilakukan bersama kumpulan itu sejak PH mengambil alih pentadbiran negeri, kita lihat antara usaha membela kebajikan mereka ialah melalui caruman Perkeso.

"Caruman Perkeso ini akan ditanggung kerajaan negeri kerana kita tahu pendapatan pemandu teksi ini tidak menentu serta mereka terdedah dengan kemalangan. Jadi insentif ini sedikit sebanyak akan meringankan beban kerana mereka akan dapat pencen," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Lori Pengangkutan anjuran Pemilik Lori Tipper Dumper dan Simen Mixer Melaka di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini rekod menunjukkan terdapat kira-kira 1,000 pemandu teksi berdaftar di negeri itu yang bernaung di bawah 16 persatuan teksi. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia