Cemburu punya pasal!

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

HULU TERENGGANU - Seorang lelaki nekad menyerang dengan parang panjang terhadap bekas birasnya yang tinggal serumah dengan bekas isterinya di Felda Mengkawang, Ajil di sini Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 malam, mangsa, 40, yang baru sampai di rumah mertuanya dikejutkan dengan kehadiran suspek yang berumur lingkungan 30-an dengan membawa parang panjang.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, suspek kemudiannya memaki hamun mangsa kerana tidak berpuas hati lelaki itu tinggal di rumah keluarga bekas isterinya.

Menurut Mohd Adli, suspek juga menuduh mangsa menjalin hubungan sulit dengan bekas isterinya sebelum ini.

"Suspek turut mengambil parang panjang yang dibawanya lalu menyerang mangsa, namun lelaki itu sempat mengelak dan berlaku pertengkaran sebelum dileraikan bapa mertua dan adik ipar mangsa yang turut berada di rumah ketika itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Mohd Adli berkata, sebelum suspek meninggalkan lokasi kejadian, dia turut mengacukan senjata itu ke arah mangsa.

"Bimbang keselamatan diri serta ahli keluarga, mangsa membuat laporan polis dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah," katanya.

Artikel Berkaitan: