Abang naik motosikal sejauh 613km daftar adik di UUM
SINTOK - [DIKEMAS KINI] Seorang penjual buah-buahan, Ee Tai Qing sanggup menaiki motosikal dari Sungai Udang, Melaka ke Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini bagi menemani adiknya mendaftar sebagai pelajar baharu di universiti tersebut pada pagi Selasa.
Menurut Lelaki berusia 27 tahun itu, dia memulakan perjalanan sejak Ahad lalu dengan jarak perjalanan sejauh 613 kilometer.
Adiknya, Ee Tai Zhi, 21, yang menaiki bas dari Melaka ditawarkan belajar bagi mengikuti Program Sarjana Muda Pengurusan Hospitaliti di UUM.
Pengorbanan Tai Qing itu mendapat perhatian Naib Canselor,Prof Datuk Dr Mohd Foad Sakdan dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed dan menyantuni dia dan adiknya itu.
Menurut Tai Zhi, beliau berjanji akan memberikan fokus sebaik mungkin selepas kuliah bermula
"Saya tak menduga mendapat pilihan program yang saya minati dan ingin menimba pengalaman baru di Lembah Sintok.
"Saya berjanji untuk memberi tumpuan penuh dan mengambil segala ilmu yang diajar pensyarah berpengalaman," katanya yang dipetik melalui Facebook UUM.
Tai Zhi antara 4,195 pelajar baharu UUM yang mendaftar pada pagi Selasa di Sintok yang terdiri daripada pelajar tempatan dan antarabangsa yang mengikuti 48 program pengajian Sarjana Muda sesi 2024/2025.
Sementara itu, Mohd Foad berkata, daripada jumlah itu, 4,061 pelajar terbabit merupakan pelajar tempatan lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Diploma, Matrikulasi, Asasi Pengurusan UUM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Menurutnya, seramai 3,860 adalah pengambilan melalui Bahagian Kemasukan Pelajar Institut Pengajian Tinggi (BPKA) atau UPU dan 201 lagi adalah lepasan Asasi Pengurusan UUM.
“Kita menerima 77 pelajar antarabangsa iaitu 64 orang dari Indonesia, 12 pelajar China dan seorang dari Bangladesh bagi pengajian peringkat Sarjana Muda.
"Seramai 57 orang lagi pelajar antarabangsa adalah peserta mobiliti iaitu 34 orang dari Indonesia, 11 dari China, 7 pelajar dari Jepun, 3 dari Brunei dan 2 lagi pelajar Perancis menjadikan jumlah keseluruhan pelajar antarabangsa 134 orang,” katanya pada sidang akhbar pada Selasa.