Apabila kita terlebih fikir

A
A
A

KELMARIN, heboh di media sosial mengenai peniaga Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Nur Sajat yang bertelekung serta menjalani ibadah umrah seperti wanita.

Akibatnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengecamnya. Terkini, Muhammad Sajjad dan rombongannya telah dibawa keluar dari Makkah.

Pada 31 Disember lalu, kerajaan China telah memaklumkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai kes-kes pneumonia di Wuhan yang tidak diketahui puncanya.

Seminggu kemudian, WHO mengenal pasti ia sebagai koronavirus. Cuti Tahun Baru Cina meningkatkan pergerakan manusia dari negara China ke negara-negara lain termasuk Malaysia. Terkini, jumlah kematian di China ialah 425 orang dengan 20,485 kes.

Baru-baru ini juga, penemuan mayat seorang lelaki berusia lingkungan 60-an di sebuah rumah kosong di Kampung Melaka, Bagan Tengkorak, Tanjong Karang, dihebohkan di media sosial kononnya rumah kosong itu berhantu. Bagaimanapun, seorang penduduk, Hasnawi Hasim yang tinggal bersebelahan sejak kecil tidak tahu-menahu rumah itu berhantu.

Berita Nur Sajat, virus koronavirus dan rumah berhantu adalah berita yang tidak ada kena-mengena secara langsung dengan kita. Namun, kita mengetahuinya dan ia membina suatu persepsi secara bawah sedar.

Kelajuan dan tularnya sesebuah berita itu menjadikan kita tenggelam untuk bertanya kesahihan sesebuah berita itu lantas menganggap ia sesuatu yang benar.

Tanpa disedari, kita membuang masa untuk membaca, menonton dan memperkatakan mengenai sesebuah berita itu.

Artikel Berkaitan:

Kemuncaknya, keyakinan kita kepada sesebuah berita itu membuatkan kita menyampaikannya kepada orang lain. Betul atau tidaknya sesebuah berita itu sudah tidak penting lagi.

Dunia media pada hari ini telah mendekatkan kita kepada semua kejadian yang terjadi di muka bumi ini.

Setiap saat, terdapat ribuan kejadian baik yang menggembirakan mahupun yang mendukacitakan. Semuanya terpapar di kaca televisyen mahupun di skrin komputer.

Namun, yang membimbangkan itulah yang terlekat di minda hingga kita terfikir-fikir hal itu meskipun kita ada kerja lain yang hendak dibuat.

Tidak boleh tidak, ia membawa kita ke situasi terlebih fikir atau overthinking. Terlebih fikir itu adalah sebuah keadaan di mana seseorang itu memikirkan sesuatu perkara itu secara berulang-ulang.

Jika dalam keadaan biasa, kita memikirkan sesuatu masalah peribadi. Tetapi kini satu masalah dunia terbenam dan terbeban mengacau fikiran kita. Para psikologis yakin, overthinking itu membawa kepada keadaan stres dan depresi.

Kalau overthinking hal-hal peribadi itu boleh ditangani dengan bertindak, overthinking hal-hal yang datang sebagai mesej dan berita yang tular itu tidak akan berakhir kerana ia di luar kawalan kita. Ini akan memakan tenaga bila memikirkannya secara berulang-ulang. Jiwa jadi tidak stabil.

Kes Sajat, jangkitan koronavirus dan kes rumah kosong yang dikatakan berhantu tidak perlu mempengaruhi rutin harin kita.

Namun fikiran-fikiran itulah yang sering bertandang dalam fikiran kita setelah membaca atau menonton sesebuah berita itu.

Overthinking itu melibatkan permainan fikiran mengenai hal-hal semalam dan esok. Hal semalam tidak dapat kita capai dan hal esok tidak dapat kita jangkau.

Yang boleh kita tangani ialah hal hari ini. Berbaloi jugalah jika over-thinking itu mengenai hal-hal yang langsung mengenai diri kita.

Rugi sangat seandainya overthinking itu tentang sesuatu yang di luar kawalan kita.

*Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian