Cubaan bunuh diri bukan lagi jenayah

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

DESAKAN supaya kerajaan segera memansuhkan cubaan bunuh diri sebagai kesalahan jenayah bergema lagi selepas Mahkamah Majistret Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman penjara enam bulan ke atas seorang lelaki kelainan upaya (OKU) Ahad lalu.

Majistret mengenakan hukuman berkenaan selepas tertuduh mengaku bersalah atas dakwaan cuba menggantung diri dengan tali nilon pada siling di rumahnya 23 Disember tahun lalu. Tindakan nekad itu dipercayai dilakukan tertuduh akibat tekanan hidup.

Apa yang dipertikaikan bukanlah mengenai hukuman berkenaan. Sebaliknya, yang menjadi kebimbangan banyak pihak adalah kewajaran untuk terus mengklasifikasi cubaan bunuh diri sebagai kesalahan jenayah di bawah Seksyen 305, 306 dan 309 Kanun Keseksaan.

Sesetengah pihak bingung bagaimana kes seorang OKU yang dilanda kemurungan cuba diselesaikan di mahkamah sedangkan perbicaraan itu tidak membawa kebaikan kepada kepentingan awam. Sebaliknya, individu berkenaan amat memerlukan bantuan dan tindakan mendakwanya akan memburukkan lagi keadaannya.

Sebagai reaksi balas terhadap keputusan mahkamah di Kuala Terengganu itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, pindaan kepada undang-undang sedia ada dijangka dibentangkan seawal pertengahan tahun 2020.

Beliau juga menyifatkan perkembangan terbaharu itu sangat membimbangkan kerana cubaan membunuh diri adalah satu keadaan kesihatan mental yang perlu dirawat.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia, dari tahun 2014 hingga Jun 2019, sebanyak 356 kes bunuh diri telah dilaporkan di negara ini meliputi semua kaum termasuk Melayu, Cina dan India.Ternyata, mangsa yang terlibat memerlukan bantuan daripada pakar seperti pakar perubatan, psikologi, kaunselor dan ahli agama bagi membantu mereka menghadapi masalah yang menyebabkan mereka mahu membunuh diri, bukannya dihukum dan dijadikan banduan.

Justeru, kerajaan perlu bersungguh-sungguh untuk memansuhkan hukuman tersebut, sepertimana bersungguh-sungguhnya sesetengah menteri mahu menghapuskan hukuman jenayah terhadap kes penagihan dadah di negara ini.

Artikel Berkaitan: