Najib tidak tanya Jho Low kad kredit kena sekat

Najib (kanan) berada di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan dakwaan penyalahgunaan dana SRC International Sdn Bhd hari ini.
Najib (kanan) berada di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan dakwaan penyalahgunaan dana SRC International Sdn Bhd hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini hari ini bahawa beliau tidak menghantar mesej kepada ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low bagi memberitahu mengenai sekatan transaksi kad kredit miliknya.

Najib turut memaklumkan, beliau tidak pernah bertanya kepada Jho Low mengenai transaksi kad kredit yang disekat pada 23 Disember 2014.

Ketika pemeriksaan semula oleh peguamnya, Harvinderjit Singh, beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan mengakui terdapat satu transaksi Visa Platinum berjumlah AS$130,625 di Honolulu, Hawaii sehari sebelum sekatan transaksi itu berlaku.

“Ada transaksi untuk membeli sebuah jam tangan Chanel di Hawaii pada 22 Disember 2014,” beritahu Najib ketika pemeriksaan semula dalam perbicaraan kes itu, hari ini.

Harvinderjit kemudian menyoal beliau mengenai log mesej perbualan antara Jho Low dan pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu.

Menerusi log perbualan itu, Jho Low dikatakan memanjangkan mesej yang dihantar oleh Najib, yang bertanyakan mengenai kad kredit Platinum tidak boleh digunakan dan meminta perkara itu diperiksa dengan Ambank.

Harvinderjit: Adakah anda berkomunikasi atau mengirim mesej kepada Jho Low?

Najib: Tidak.

Artikel Berkaitan:

Pada 11 November tahun lalu, Najib diperintah membela diri terhadap tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berkaitan dana SRC International.

Mahkamah membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Perbicaraan memasuki hari ke- 75, hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Sementara itu ketika menjawab soalan seorang lagi peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, bekas perdana menteri tersebut sekali lagi bersumpah tidak mengetahui mengenai wang syarikat RM42 juta yang disalurkan oleh Jho Low.

Najib mendakwa, ahli perniagaan dari Pulau Pinang itu sengaja memasukkan wang ke dalam akaun peribadinya kerana mungkin beranggapan tanpa kemasukan wang itu, hubungan mereka akan terjejas.

Najib: Jho Low mungkin anggap dana itu sebagai pelaburan kerana nilainya sangat kecil jika dibandingkan dengan pulangan pelaburan yang akan diterima di masa depan.

Shafee: Kenapa Jho Low nak tipu mengenai kemasukan wang itu?

Najib: Jika dia tidak memastikan ada wang derma dalam akaun saya, saya akan mula curiga, cek saya tidak boleh digunakan, seterusnya saya akan bertanya dan menyiasat. Kemudian saya akan mengetahui adanya penipuan.

Shafee: Bila anda tahu mengenai perkara itu?

Najib: Saya hanya mengetahui tentang taktik Jho Low ketika ditanya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan sepanjang perbicaraan ini.

Perbicaraan disambung dengan saksi baharu petang ini.