Koronavirus: Kakitangan KKM diminta bantu banteras maklumat palsu

Dr Chen Chaw Min menyampaikan sijil kepada kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan yang menerima Anugerah Pekerja Cemerlang hari ini di Klana Resort Seremban.
Dr Chen Chaw Min menyampaikan sijil kepada kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan yang menerima Anugerah Pekerja Cemerlang hari ini di Klana Resort Seremban.
A
A
A

SEREMBAN - Semua kakitangan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) diminta supaya membantu membanteras penularan maklumat palsu mengenai wabak koronavirus di negara ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min berkata, penyebaran maklumat palsu akan menyebabkan masyarakat berada dalam keadaan tidak tenteram, selain memberi kesan secara tidak langsung kepada masyarakat setempat.

"Saya menggesa semua kakitangan KKM supaya bersama-sama membanteras maklumat palsu mengenai wabak koronavirus ini kerana ia boleh mengakibatkan ketakutan atau panik kepada orang awam, malah PDRM dan SKMM juga telah memberi amaran, bahawa tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menyebar kandungan, khabar angin atau berita palsu mengenai penularan virus ini yang bukan sahaja boleh mengganggu ketenteraman awam tetapi mengganggu penyampaian kerja-kerja pihak kesihatan," katanya di Majlis Penyampaian Anugerah Pekerja Cemerlang Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan di Klana Resort Seremban, hari ini.

Kakitangan JKNNS menerima Anugerah Pekerja Cemerlang.
Kakitangan JKNNS menerima Anugerah Pekerja Cemerlang.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Zainudin Mohd Ali.

Tambahnya, KKM bersama seluruh agensi kerajaan yang lain sudah pun mempertingkatkan siap siaga dalam menghadapi keadaan luar jangka yang mana segala maklumat akan disalurkan kepada orang awam secara menyeluruh menerusi sidang media setiap hari.

Katanya, pihaknya yakin tindakan dan langkah pencegahan yang diambil sekarang ini dapat mengawal wabak tersebut dengan baik, malah beliau juga berharap semua kakitangan KKM serta agensi lain yang terlibat dalam menangani wabak koronavirus ini dapat menjaga tahap kesihatan mereka dengan sempurna agar tidak terkesan.

Pada majlis itu, seramai 968 pekerja Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan menerima sijil khidmat cemerlang, selain 111 pesara dan bakal pesara turut diraikan dalam majlis tersebut.

Artikel Berkaitan: