MC palsu, jurujual produk kecantikan didenda RM700

Pihak polis membawa Noor Farhana (dua, kiri) ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat, bagi menghadapi pertuduhan kes menggunakan sijil cuti sakit (MC) palsu, minggu lalu.
Pihak polis membawa Noor Farhana (dua, kiri) ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat, bagi menghadapi pertuduhan kes menggunakan sijil cuti sakit (MC) palsu, minggu lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang jurujual sebuah butik pakaian dalam dan produk kecantikan antarabangsa menggunakan sijil cuti sakit (MC) palsu mengundang padah apabila dia didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.

Noor Farhana Nor Haspilah, 24, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang bekerja di bahagian minyak wangi, dipenjara selama dua minggu, sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa dengan curangnya telah menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen iaitu sijil cuti sakit, yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu, di sebuah pusat beli belah, di Jalan Cheras di sini pada 25 Julai lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara selama dua tahun, atau denda, atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, peguam, Mohd Zaidi Othman merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana menyesal dengan perbuatan itu.

Menurutnya, anak tunggal itu perlu menyara ibunya yang berusia 60 tahun selepas kematian bapanya.

"Ketika kejadian, dia yang masih bujang mengalami masalah kesihatan dan tidak dapat ke tempat kerja, jadi dia mengambil tindakan singkat sehingga menjerumuskannya dalam kes ini.

"Dia berjanji tidak akan melakukan kesalahan jenayah di masa depan malah ekoran kes berkenaan ini dia mungkin hilang pekerjaan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.