Elak beli topeng muka secara panik, pesan menteri

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan pembelian panik dengan mendapatkan topeng muka dalam jumlah yang besar kerana ia akan menimbulkan keresahan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurutnya, kerajaan akan memastikan bekalan topeng muka dalam negara mencukupi berikutan permintaan yang sangat tinggi, susulan penularan wabak koronavirus yang melanda pada masa ini.

"Itu (pembelian panik) akan menimbulkan keresahan yang tinggi. Sementara kerajaan berusaha supaya pihak yang bertanggungjawab memastikan bekalan (topeng muka) mencukupi, saya juga memohon kerjasama daripada rakyat, tidak melakukan 'panic buying', pembelian dalam jumlah yang besar secara tiba-tiba," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat 20 Negara Serantau Pejabat Harta Intelek Berkaitan Sistem Madrid di sini hari ini.

Beliau berkata, pengeluar topeng muka tempatan telah diminta meningkatkan pengeluaran mereka dan import barangan itu juga perlu ditingkatkan selepas pertemuan bersama pihak terlibat dilakukan minggu lepas.

Saifuddin berkata, sebelum ini, hampir 90 peratus bekalan topeng dalam negara yang kebanyakannya diperolehi dari China, Eropah, Amerika Syarikat dan Singapura adalah lebih kepada 'surgical mask' dan topeng industri serta penggunaan biasa dan sesekali meningkat apabila berlakunya jerebu.

"Kementerian telah mengadakan pertemuan dengan pengimport dan juga pengeluar topeng muka pada minggu lepas, tujuannya untuk mendapatkan ‘fact finding' memastikan bekalan mencukupi, harga adalah harga yang di bawah harga kawalan,” katanya.

Pada masa yang sama beliau turut mengingatkan peniaga supaya mematuhi kawalan harga kerana topeng muka adalah barangan harga terkawal di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Katanya, setakat ini kementerian itu telah mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga tidak munasabah bagi topeng muka dan pihaknya bersiap siaga sepenuhnya untuk mengadakan pemantauan. - Bernama

Artikel Berkaitan: