Tambah baik fasiliti, bukan pindah lokasi - Peniaga
RANTAU PANJANG - Penduduk dan peniaga di daerah ini mahu kerajaan negeri melakukan kajian lebih terperinci berkaitan cadangan memindahkan Zon Bebas Cukai Rantau Panjang ke satu lokasi baharu.
Mereka berpendapat Pekan Rantau Panjang sejak dahulu menjadi lokasi tumpuan pelancong untuk membeli-belah dan menikmati keenakan makanan Kelantan serta Thailand.
Seorang peniaga, Adrian Hakimi Mohd Don, 35, berkata, penambahbaikan lokasi lama lebih penting berbanding memikirkan perpindahan ke tempat baharu.
Jelasnya, penduduk dan pelancong tidak dapat menikmati fasiliti terbaik kerana kekurangan tandas, tempat riadah serta kawasan rehat.
"Kami sebenarnya tiada lokasi khas untuk membawa anak-anak beriadah termasuk berjoging manakala pelancong memerlukan tempat berpusat yang dilengkapi tandas, surau dan tempat rehat.
"Lebih menarik lagi jika pihak berkuasa tempatan menambah mural atau lukisan sejarah Rantau Panjang.
"Selain itu musibah banjir setiap tahun boleh dijadikan sebagai kelebihan kerana turut menjadi tumpuan orang ramai selepas bencana itu," katanya ketika ditemui pada Khamis.
Peniaga makanan panas, Rohani Mohd, 50, berkata, dia tidak bersetuju dengan cadangan pemindahan itu kerana sudah ada pelanggan tetap dan ramai rakan peniaga lain di situ.
Rohani yang sudah 14 tahun berniaga berkata, jumlah pelanggan akan meningkat pada hujung minggu dan cuti persekolahan.
"Kami sangat gembira berniaga di sini dan mungkin akan berlaku masalah jika terpaksa berpindah ke lokasi baharu," katanya
Sementara itu, peniaga pakaian, Fadli Mat Yusof, 53, berpendapat kerajaan perlu memikirkan lokasi lebih sesuai dalam perancangan mereka memindahkan zon bebas cukai berkenaan.
Dia yang sudah lebih 30 tahun berniaga di Rantau Panjang berkata, daerah itu sudah dikenali di seluruh negara sebagai kawasan bebas cukai.
"Jika benar-benar perancangan itu akan dilaksanakan, zon bebas cukai itu tidak boleh 'keluar' dari Rantau Panjang kerana sebelum ini memang menjadi tumpuan pelancong sebagai kawasan membeli-belah dan tempat makan," katanya.
Bagi penduduk, Mohamad Naziz Abdul Zaman, 47, zon bebas cukai berpusat mungkin memberi kelebihan kepada pihak tertentu tetapi ada peniaga yang tidak bersetuju.
Dia berpandangan, zon bebas cukai lebih sesuai berada di pintu masuk sempadan atau tempat terbuka.
"Ada pihak memikirkan pentadbiran lebih terancang jika zon bebas cukai dipindahkan ke tengah bandar berbanding di sekitar kampung, namun peniaga mungkin berdepan masalah kenaikan sewa.
"Jika kerajaan mahu membanteras penyeludupan, adakah perpindahan itu efektif untuk mengekang aktiviti berkenaan," soalnya.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan negeri merancang memindahkan zon bebas cukai di Rantau Panjang ke lokasi baharu yang lebih strategik.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Kamarudin Md Noor berkata, ini kerana zon bebas cukai yang sedang beroperasi kini berada berhampiran kediaman penduduk dan kawasan kampung.