Veteran polis usia 103 tahun sebak imbau kekejaman komunis

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor (kanan) melawat veteran polis, Besar Long di rumahnya di Chabang Tiga, Kuala Terengganu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor (kanan) melawat veteran polis, Besar Long di rumahnya di Chabang Tiga, Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang veteran polis berusia 103 tahun tidak dapat menahan rasa sebak apabila menceritakan peristiwa yang ditempuh ketika permulaan penjajahan komunis di tanah air suatu ketika dahulu.

Besar Long yang ketika itu merupakan anggota Jungle Squad atau kini dikenali sebagai Pasukan Gerakan Am masih mengingati dengan jelas detik hitam di mana 40 rakannya terkorban dalam pertempuran melawan penjajah itu.

"Saya masih ingat lagi ketika menentang komunis, tujuh hingga lapan rakan saya yang waktu itu menaiki trak mati bergelimpangan kerana terkena bom.

"Tidak terhenti setakat itu, ada juga yang meninggal dunia kerana ditembak pada jarak dekat ketika permulaan zaman penjajahan komunis.

Gambar dalam simpanan Besar ketika bertugas dalam pasukan polis suatu ketika dahulu.
Gambar dalam simpanan Besar ketika bertugas dalam pasukan polis suatu ketika dahulu.

"Boleh dikatakan hampir setiap hari kami berperang melawan komunis dan sepanjang tempoh itu ramai rakan saya yang tewas, seingat saya hampir 40 orang yang terkorban," katanya dengan linangan air mata.

Besar ditemui pemberita sempena lawatan kebajikan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor di kediamannya, di Chabang Tiga di sini pada Selasa.

Kunjungan tersebut bagi memperingati perjuangan veteran seperti Besar sempena sambutan Hari Malaysia yang diraikan pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Sempena kunjungan tersebut, Besar turut menerima sumbangan berbentuk barangan keperluan harian.

Besar sebak dan mengalirkan air mata setiap kali menceritakan detik cemas yang dilalui ketika menentang komunis.
Besar sebak dan mengalirkan air mata setiap kali menceritakan detik cemas yang dilalui ketika menentang komunis.

Besar yang juga mesra digelar Tok Ki bersara sebagai Ketua Balai Polis Pulau Bidong dengan pangkat sarjan pada 1984.

Menurut Besar, beliau bersyukur kerana masih dikurniakan usia panjang dan terselamat dalam setiap episod peperangan.

Tambah Besar, beliau juga tidak pernah mengalami kecederaan ketika menentang komunis, membolehkan dia berkongsi kisah dan pengalaman sebenar yang dilalui kepada anak cucu dan generasi muda.

"Saya bersyukur kerana sepanjang tempoh itu saya ditakdirkan terselamat.

Azli (kiri) melihat potret Besar ketika melawat pesara polis itu di rumahnya di Chabang Tiga, Kuala Terengganu.
Azli (kiri) melihat potret Besar ketika melawat pesara polis itu di rumahnya di Chabang Tiga, Kuala Terengganu.

"Setiap kali keluar bertugas, saya akan membaca beberapa doa pendinding diri termasuk surah Yusuf.

"Selain itu, saya juga menyerahkan segala-galanya dan bertawakal kepada ALLAH SWT terhadap apa jua yang bakal menimpa," katanya yang memiliki lapan anak dan lebih 50 cucu.

Sementara itu, Azli berkata, kunjungan ke rumah Besar bagi menzahirkan penghargaan kepada susuk tubuh itu yang banyak berjasa dan berkorban demi mempertahankan kedaulatan negara.

Katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan dan kesihatan golongan pesara polis.

"Tujuan kita menziarahi Tok Ki bagi menzahirkan penghargaan dan rasa terima kasih kepada beliau yang banyak menabur jasa dan mempertaruhkan nyawa demi negara.

"Kita bersyukur kerana Tok Ki masih sihat daya ingatan dan masih kuat sehingga dia boleh menceritakan pengalaman yang diharungi ketika menyertai Jungle Skuad suatu masa dahulu," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!