Bursa Malaysia merosot sesi ke-10 berturut-turut

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR- Bursa Malaysia ditutup rendah untuk sesi ke-10 berturut-turut hari ini, didorong oleh semua indeks kecuali indeks FBMPalmOil, walaupun terdapat tawaran daripada bank pusat China untuk menstabilkan pasaran domestiknya, kata penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 0.59 peratus atau 9.11 mata kepada 1,521.95 daripada 1,531.06 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Selepas dibuka rendah 8.92 mata kepada 1,522.14, indeks petunjuk pasaran berada antara 1,517.61 dan 1,528.06 sepanjang hari.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 738 berbanding 281, dengan 327 kaunter tidak berubah, 614 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan naik kepada 3.97 bilion saham bernilai RM2.85 bilion daripada 3.78 bilion saham bernilai RM3.29 bilion pada Jumaat.

Penganalisis berkata, langkah China tidak mencukupi untuk meningkatkan aktiviti ekonomi berikutan penularan 2019 novel koronavirus.

“Dalam konteks Asia, bagaimanapun, persoalan besar adalah dalam pasaran mata wang dan kemungkinan aliran keluar serta semakan realiti ekonomi.

“Dengan kompleks perindustrian China ditutup untuk seminggu lagi, sukar untuk melihat insiden ini selain daripada aspek ekonomi negatif,” kata Ketua Strategi Pasaran AxiCorp Stephen Innes.

Artikel Berkaitan:

Dilaporkan Bank Rakyat China (PBoC) berkata ia menurunkan kadar repo berbalik tujuh hari kepada 2.40 peratus daripada 2.50 peratus, dan mengurangkan tenor 14 hari kepada 2.55 peratus daripada 2.65 peratus sebelum ini.

Penurunan itu berikutan pasaran kewangan China dibuka semula selepas cuti Tahun Baru Cina yang panjang apabila jumlah kematian akibat koronavirus dan jumlah jangkitan meningkat dengan mendadak.

Pada Isnin, PBoC turut menyuntik 1.2 trilion yuan (US$174 bilion) nilai mudah tunai dalam pasaran kewangan melalui operasi repo berbalik.

Di peringkat tempatan, Malacca Securities Sdn Bhd berkata saham berharga rendah dan saham pasaran lebih luas tidak terkecuali daripada jualan berikutan penurunan yang berterusan.

“Dengan sentimen pasaran yang sebahagian besarnya tidak menggalakkan, kami menjangka penurunan dalam saham berharga rendah,” katanya dalam nota penyelidikan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Hap Seng merosot 23 sen kepada RM9.50, Axiata susut 10 sen kepada RM4.20, Sime Darby turun lima sen kepada RM2.13, Hartalega berkurangan 12 sen kepada RM5.80, dan Malaysia Airports merosot 11 sen kepada RM6.63.

Daripada saham aktif, Bumi Armada naik 3.5 sen kepada 39 sen, manakala Sapura Energy dan Vivocom, masing-masing tidak berubah pada 24.5 sen dan dua sen.

Bagi kaunter paling rugi, Nestle susut RM1.10 kepada RM143.20, Dutch Lady merosot 98 sen kepada RM40.20 dan KESM turun 87 sen kepada RM9.25.

Indeks FBM Emas merosot 81.60 mata kepada 10,808.52, Indeks FBM Emas Shariah turun 89.85 mata kepada 11,462.85 dan Indeks FBMT 100 susut 79.49 mata kepada 10,624.10.

FBM 70 susut 166.19 mata kepada 13,485.31 dan FBM Ace berkurangan 43.86 mata kepada 5,333.36.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 1.07 mata kepada 142.24, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 124.77 mata kepada 14,657.48 dan Indeks Perladangan turun 66.80 mata kepada 7,076.82.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.72 bilion saham bernilai RM2.57 bilion daripada 2.59 bilion saham bernilai RM2.98 bilion pada Jumaat.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 479.95 juta unit bernilai RM80.37 juta daripada 547.33 juta unit bernilai RM105.07 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE naik kepada 779.84 juta saham bernilai RM198.80 juta daripada 644.87 juta saham bernilai RM196.75 juta pada Jumaat.

Barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 496.27 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (356.97 juta), pembinaan (167.25 juta), teknologi (246.13 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (50.57 juta), hartanah (244.38 juta), perladangan (84.16 juta), REIT (12.52 juta), dana tertutup (2,000), tenaga (846.54 juta), penjagaan kesihatan (80.93 juta), telekomunikasi dan media (29.63 juta), pengangkutan dan logistik (72.17 juta) dan utiliti (35.08 juta).-Bernama