Kubur usia lebih 100 tahun musnah diceroboh
KOTA BHARU - Sebuah kubur lama berusia lebih 100 tahun musnah didakwa selepas diceroboh oleh pihak pemaju perumahan di Kampung Pauh Panji, di sini, dua minggu lalu.
Seorang penduduk, Syed Abu Bakar Syed Jaafar, 58, berkata, lebih mengecewakan kerana batu nisan terdiri batu-batu sungai tercabut dari tempat asal apabila semak di Tanah Perkuburan Islam Mukim Pauh Panji itu dibersihkan oleh pihak berkenaan menggunakan jentolak.
Batu-batu nisan itu pula dibiar berselerak di kawasan seluas 461 meter persegi.
Menurut Syed Abu Bakar, pencerobohan sebenarnya berlaku lebih awal lagi apabila pihak pemaju didakwa membina pagar dawai besi di kawasan tanah kubur terbabit pada tiga tahun lalu.
“Bagaimanapun, yang menghairankan apabila pagar yang dibina itu lebih kecil berbanding keluasan asal kawasan tanah kubur terbabit.
“Mereka juga tidak pernah meminta kebenaran penduduk dan amat menyedihkan apabila kerja-kerja membersihkan semak dibuat menggunakan jentera berat hingga merosakkan kubur-kubur lama,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Pauh Panji, di sini, pada Isnin.
Syed Abu Bakar berkata, lebih memburukkan lagi keadaan pencerobohan itu apabila bangsal untuk mandi dan tandas kegunaan buruh asing berada di atas kubur berkenaan.
“Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana semua pihak perlu menghormati tanah perkuburan.
“Saya berharap pihak berwajib akan memberikan perhatian dan turun padang untuk menghentikan segera pencerobohan ini,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Khairat Kematian Kampung Pauh Panji, Saidi Ibrahim,55, berkata, biarpun pemaju bukanlah membina rumah di atas tanah perkuburan terbabit namun tindakan mereka yang menceroboh kawasan itu menyebabkan ketidakselesaan kepada penduduk setempat.
Selainnya, Saidi memberitahu, lebih 5,000 penduduk di mukim berkenaan juga berhasrat menggunakan semula kubur berkenaan pada masa depan.
“Kubur ini berada di tanah yang diwakafkan oleh penduduk sekian lama dan masih ada waris-waris mereka yang tinggal di kampung ini.
“Penduduk juga mahu menggunakan kembali kubur ini kerana kedudukannya yang lebih dekat dengan rumah penduduk berbanding kubur sedia ada yang digunakan ketika ini,” katanya.
Kata Saidi, perkara terbabit sudah pun dilaporkan kepada pihak berkuasa berkenaan dan meminta supaya dibina pagar mengikut keluasan tanah yang asal.
“Kami mahukan papan tanda dan pagar dibina di kubur ini supaya kawasannya terpelihara dan tidak diceroboh sewenang-wenangnya oleh sesiapa pun,” ujarnya.
Sinar Harian dalam pada itu berusaha mendapatkan maklum balas daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan berkait perkara ini.