Remaja terlantar akibat masalah saraf tunjang

Muhammad Zaim Zharfan menggunakan loceng kecil jika memerlukan bantuan.
Muhammad Zaim Zharfan menggunakan loceng kecil jika memerlukan bantuan.
A
A
A

KUALA KRAI - Seorang remaja di Kampung Keroh di sini tidak dapat menikmati kehidupan seperti rakan sebayanya akibat masalah tumbesaran atau Achondroplasia yang menyebabkan gangguan pertumbuhan tulang atau kerdil.

Lebih menyedihkan, Muhammad Zaim Zharfan Zamri, 14, yang terlantar sejak lebih enam tahun lalu dikatakan perlu bergantung kepada mesin pernafasan seumur hidupnya.

Ibunya, Rosnah Saari, 39, berkata, Muhammad Zaim Zharfan atau lebih mesra dipanggil abang diuruskan seperti seorang bayi bagi kerana dia tidak dapat banyak bergerak.

"Kami menyediakan loceng kecil bagi memudahkannya membunyikannya ketika memerlukan pertolongan atau memaklumkan keperluannya," katanya ketika ditemui di kediamannya.

Menceritakan kejadian awal anak sulung daripada lima beradik itu mengalami keadaan berkenaan Rosnah berkata, semuanya bermula ketika anaknya berusia lapan tahun.

"Ketika Darjah Dua, Muhammad Zaim selalu mengadu sakit di leher dan bahagian belakang.

"Dia kemudiannya mengalami sesak nafas yang serius sebelum tidak sedarkan diri ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP)," katanya.

Rosnah dan Zamri sentiasa memberi perhatian kepada Muhammad Zaim Zharfan.
Rosnah dan Zamri sentiasa memberi perhatian kepada Muhammad Zaim Zharfan.

Artikel Berkaitan:

Kongsinya lagi, hasil pemeriksaan pakar mendapati saraf tunjang di bahagian leher Muhammad Zaim Zharfan mengalami masalah dan terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

"Sejak itu Muhammad Zaim banyak menghabiskan masa di hospital kerana koma selama empat bulan sebelum dipindahkan ke wad biasa dan dirawat selama setahun tanpa pulang ke rumah," katanya.

Selain itu katanya, Muhammad Zaim perlu menjalani prosedur menebuk leher untuk saluran pernafasan yang memerlukannya menggunakan mesin untuk bernafas 24 jam setiap hari.

Menurut Rosnah, walaupun sudah pulang ke rumah, anaknya terpaksa berulang-alik ke hospital untuk rawatan mata dan fisioterapi kesan penyakitnya itu.

Dalam pada itu Rosnah reda apabila pada masa sama diuji dengan keadaan suami, Zamri Ahmad, 55, yang diserang angin ahmar akibat penyakit kencing manis dan darah tinggi.

"Walaupun keadaannya semakin pulih namun tidak dapat melakukan kerja berat apabila dua tahun lalu, dia disahkan menghidap penyakit buah pinggang tahap empat," katanya.

Wanita cekal itu tidak pernah patah semangat dan melakukan pelbagai kerja termasuk membuat roti dan menjual ikan bekok pelbagai jenis kuih untuk menyara keluarganya.

Kata Rosnah lagi, dia menggunakan media sosial untuk mempromosikan barangan yang dijual termasuk produk kesihatan.

"Muhammad Zaim menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 yang dapat membantu saya membeli keperluan utamanya iaitu lampin pakai buang.

"Pendapatan saya dapat dibelanjakan untuk menanggung tiga lagi adiknya yang bersekolah di antara usia 6 hingga 12 tahun," katanya.

Katanya, rutin setiap paginya bermula seawal jam 4 pagi untuk membakar roti dan terus menghantar anak ke sekolah sementara Muhammad Zaim Zharfan pula dijaga bapanya.

Orang ramai yang ingin berkongsi rezeki dengan keluarga ini boleh menyumbang ke akaun Bank Islam bernombor 03-072-02-008271-4 atas nama Rosnah Saari atau boleh menghubunginya di talian 011-17852585.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!