Usah pinggir golongan tidak celik al-Quran

Sebahagian daripada aktiviti dijalankan oleh Persatuan Mahasiswa Kontemporari Islam (PMKI) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Sebahagian daripada aktiviti dijalankan oleh Persatuan Mahasiswa Kontemporari Islam (PMKI) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Golongan muda yang kurang faham serta tidak mempunyai minat untuk mendalami ilmu al-Quran perlu didekati dan sentiasa dibimbing agar mereka terkeluar daripada kelompok tersebut.

Ketua Lajnah Dakwah dan Kerohanian, Persatuan Mahasiswa Kontemporari Islam (PMKI) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Muhammad Ilham Fahmi Mohd Azhar berkata, pendekatan secara kreatif bersesuaian dengan perubahan arus semasa diperlukan bagi menarik minat mereka untuk mendampingi al-Quran.

"Golongan muda terbahagi kepada beberapa golongan iaitu golongan muda yang benar-benar meminati bidang al-Quran baik di institusi yang menyediakan pengajian al-Quran atau melibatkan orang awam yang lain.

"Selain itu, terdapat mereka yang tidak begitu gemar dengan al-Quran, kurang membaca dalam seharian serta tidak mendalami ilmu-ilmu al-Quran.

"Maka dua golongan ini perlu saling membantu menerusi kaedah kreatif sesuai peredaran zaman bagi menarik golongan muda untuk meminati al-Quran," katanya.

Menurut Muhammad Ilham, program Malaysia #QuranHour yang diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini memberi impak besar dan memberikan sinergi terhadap usaha memastikan lebih ramai celik al-Quran.

"Pihak yang berkenaan disarankan untuk menganjurkan aktiviti yang dekat dengan jiwa golongan muda seperti sukan, riadah dan seumpamanya sambil memasukkan nilai mesej al-Quran, seperti tadabbur ayat sebelum memulakan aktiviti dan mendedahkan kepentingan al-Quran dalam kehidupan seharian.

"Selain itu, hebahan melalui risalah yang menarik dan kreatif untuk menarik jiwa golongan muda untuk meminati al-Quran seperti kempen membaca al-Quran satu muka surat sehari dan tadabbur satu ayat al-Quran sehari.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, program sumbangan al-Quran kepada golongan muda juga perlu diperhebat bagi memberi galakan dan semangat untuk mereka meminati al-Quran dan menghargai pemberian tersebut," katanya.

PMKI merupakan sebuah organisasi yang bernaung di bawah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) UniSZA.

Persatuan ini merupakan organisasi induk yang di bawahnya mempunyai enam persatuan syukbah iaitu Persatuan Mahasiswa Pentadbiran Islam & Syariah (Perisya), Persatuan Mahasiswa Dakwah & Teknologi Maklumat (Persada), Persatuan Mahasiswa Usuluddin (PMUS), Persatuan Mahasiswa AlQuran & AsSunnah (AQSA), Persatuan Mahasiswa Sejarah Tamadun Islam & Bahasa

Kesusasteraan Arab (Sejahtera) dan Persatuan Mahasiswa Pendidikan UniSZA (PMAP).

Setakat ini bilangan ahli PMKI UniSZA bagi sesi 2023/2024 seramai 39 orang.

"Antara objektif persatuan ini ialah memperkasakan baiah solehah dalam kalangan seluruh mahasiswa dan mahasiswi serta pengurusan UniSZA amnya dan FKI khususnya bersesuaian dengan moto persatuan.

"Kita juga berusaha membentuk generasi yang mempunyai ciri-ciri kepemimpinan yang berminda glokal dan berupaya mengaplikasi serta menyebar khazanah ilmu berpaksikan al-Quran dan al-Sunnah," ujarnya.

Jelas beliau, antara aktiviti dijalankan ialah menggalakkan pembacaan al-Quran dan pemahaman melalui Program Haflah al-Quran ketika Ramadan serta bertadarus mengikut kuliah bersama-sama.

"Program Siswa Tadabbur Therapy 1.0 juga diadakan bagi menggalakkan bukan sekadar membaca al-Quran tetapi memahami dan menghayati agar pengisian al-Quran menjadi hikmah dan panduan dalam kehidupan seharian baik di dalam universiti mahupun kehidupan luar yang lebih mencabar, "ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!