X

Kindly register in order to view this article
!

Masyarakat yang sakit

A
A

Setiap kali diamati kesesakan pesakit di hospital dan klinik kerajaan, hatta kadang-kadang di hospital dan klinik swasta, sepatutnya mencetuskan rasa cemas, apakah negara ini sedang mengarah kepada masyarakat yang sakit.

Dengan tren semakin banyak pusat rawatan baik kerajaan mahupun swasta muncul di negara ini, ia mungkin menunjukkan kemudahan rawatan kesihatan negara ini semakin baik, akan tetapi tidak menandakan negara ini menuju kepada sebuah negara yang sihat.

Bertambah banyak pusat rawatan yang diperlukan bermakna semakin ramai rakyat yang tidak sihat. Sebab itu petanda masyarakat tidak sihat ialah padatnya hospital dan klinik dengan pesakit dalam kalangan bayi, kanak-kanak sehingga warga emas, lelaki dan perempuan.

Jika diamati jenis penyakit, yang banyak dideritai, ialah penyakit yang berkait dengan gaya hidup. Diabetes, hipertensi, stres, kanser adalah antara penyakit yang banyak dikait dengan gaya hidup.

Akan tetapi hakikatnya dengan segala kemudahan yang ada, bilangan warga Malaysia yang dijangkiti penyakit tidak berjangkit sangat tinggi. Data Survei Morbiditi dan Kesihatan menunjukkan hampir 50 peratus rakyat mempunyai kolesterol yang tinggi dan sekitar 18% mengalami kegemukan. Manakala 17.5 peratus atau 3.6 juta menderita diabetes berumur antara 18 hingga 29 tahun.

Merebaknya penyakit dalam kalangan masyarakat bukan sahaja harus dikaitkan dengan serangan kuman, tetapi adalah juga dari corak hidup yang dijalani masyarakat.

Tahap keupayaan merawat sering pula diukur dengan bilangan hospital ( bilangan katil ) dan klinik, nisbah bilangan doktor dan pesakit dan bilangan doktor pakar. Dari angka yang dapat dikumpulkan, Malaysia ternyata adalah negara yang memiliki tahap kualiti rawatan antara yang terbaik di dunia. Ukuran ini mungkin diterima sebagai pernyataan bahawa negara memiliki kecukupan fasiliti rawatan kesihatan.

Namun, persoalan asasi yang sepatutnya diketengahkan ialah kenapa kadar rakyat yang sakit dan dijangkiti penyakit semakin meningkat. Pusat rawatan di negara ini sangat padat dengan rakyat yang sakit.

Walaupun saban tahun peruntukan bajet negara menunjukkan peningkatan kerana negara mahu dilambangkan mempunyai keprihatinan serius terhadap kesihatan rakyat, itu tidak bermakna tahap kesihatan masyarakat semakin baik.

Masalahnya, fasiliti yang semakin bertambah, dan rawatan yang semakin canggih dan moden tidak memperlihatkan rakyat semakin sihat. Malah sebaliknya berlaku. Rawatan kesihatan di Malaysia berfungsi dalam dua tingkat iaitu berdasarkan rawatan universal oleh kerajaan dan berdamping dengan rawatan kesihatan oleh pihak swasta.

Kini Malaysia sedang mempromosi sebagai negara hab pelancongan kesihatan. Lalu muncul pusat rawatan swasta yang bercambah dan rawatan kesihatan, hospital dan klinik swasta menjadi industri yang lumayan.

Lebih parah, kita tidak mungkin merasa selesa bila secara umum generasi muda kini sudah pun mulai dijangkiti penyakit yang dahulunya dianggap penyakit orang tua seperti diabetes, jantung dan darah tinggi.

Gambaran bahawa Malaysia dikesan antara negara yang menghadapi kadar obesiti antara tertinggi di dunia sepatutnya menyebabkan kita meneliti secara kritikal kenapa negara sedang berdepan gejala rakyat yang semakin tidak sihat.

Gaya hidup yang berkait dengan budaya makan jenis makanan berproses dan hidup dalam hawa dingin sama ada di rumah, mahupun pejabat dan kenderaan telah menyebabkan gaya hidup warga Malaysia terdedah kepada penyakit.

Dalam kalangan kanak-kanak, kebanjiran makanan berproses dan makanan yang bercampur dengan bahan pewarna, perasa dan pengawet telah memberi kesan yang sangat merbahaya kepada pembesaran mereka. Industri makanan kanak-kanak sangat beragam sehingga ia menangkap rasa dan selera makan yang tidak sihat dalam kalangan kanak-kanak Malaysia.

Kini budaya merokok masih tidak dapat dibendung.Ratusan juta ringgit diguna untuk kempen mencegah merokok. Setiap tahun puluhan ribu yang mati yang berkaitan dengan tabiat merokok.

Kempen dan menguatkuasakan undang-undang merokok telah diusahakan. Namun jelas tabiat buruk ini tidak dapat diatasi. Malang sekali kanak-kanak, remaja wanita dan lelaki menjadi kumpulan perokok yang sangat merisaukan di negara ini.

Kini, isu kesihatan awam menjadi semakin menonjol. Saban waktu ada sahaja wabak penyakit berjangkit dan tidak berjangkit yang muncul.

Keselamatan awam bukan sahaja dilihat dari sudut kepolisan dan ketenteraan akan tetapi juga dari sudut kesihatan.

Tercetusnya wabak sangat digeruni oleh semua pihak, kerajaan dan swasta. Akan tetapi hakikatnya dengan segala kemudahan yang ada, bilangan warga Malaysia yang dijangkiti penyakit tidak berjangkit sangat tinggi.

Negara yang sihat bergantung kepada rakyat yang sihat. Manakala rakyat yang sihat bermula dari gaya dan budaya hidup yang sihat. Bermakna kesihatan dari budaya hidup yang sihat itulah yang harus diberi keutamaan.

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!