Dosa berantai akibat perbuatan rasuah
BUAT julung kali, segmen mengenai rasuah dipersembahkan kepada khalayak melalui tarian ‘cuci rasuah’ dalam sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya pada Sabtu lalu.
Menggunakan peralatan pembersihan iaitu penyapu dan muzik rancak dialunkan bunyi dari tong-tong sampah, tarian cuci rasuah walaupun nampak remeh tapi mesejnya yang cuba disampaikan adalah kerajaan semakin serius untuk memerangi salah guna kuasa, penyelewengan dan jenayah rasuah.
Penggunaan objek penyapu dan tong sampah dalam tarian cuci rasuah memang amat wajar berdasarkan kesan buruk perbuatan rasuah terhadap rakyat dan negara.
Beratus-ratus bilion ringgit dana negara yang sepatutnya digunakan untuk kebajikan rakyat jelata dan projek pembangunan lesap begitu saja di tangan perasuah.
Golongan kaki rasuah juga semakin menular ke lebih banyak agensi kerajaan sehingga ke jabatan agama dan pusat zakat.
Ada yang melihat setiap projek yang bakal dirancang dan dilaksanakan atau pembelian peralatan dan jentera, ada ‘bahagian rasuah’ yang boleh dikongsi oleh ahli politik dan pegawai kerajaan yang korup.
Amat menyedihkan pada ketika banyak pembongkaran dan tangkapan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ia seperti tidak menakutkan kakitangan sektor awam termasuk agensi-agensi penguat kuasa untuk terus terjebak dengan rasuah.
Malah apa yang membimbangkan, pihak sindiket sudah sampai ke tahap dapat merekrut kakitangan dalaman di sesebuah agensi penguat kuasa untuk memudahkan kegiatan jenayah mereka ditutup mata dan dilepaskan tanpa tindakan seperti penyeludupan yang berlaku di pelabuhan dan lapangan terbang.
Persoalan timbul kenapa terlalu sukar untuk membendung gejala rasuah di agensi kerajaan.
Kalau kita melangkah masuk ke pejabat kerajaan, ada terpampang peringatan agar kakitangannya jangan terjebak dengan rasuah.
Banyak agensi kerajaan yang besar seperti kastam, imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) ada disediakan unit agama.
Para ustaz perlu memberi mesej jelas bahawa dosa rasuah tidak dapat dipadamkan hanya melalui taubat.
Kita harus ingat bahawa rasuah ada kaitan dengan ‘dosa dengan manusia’ dan dosa itu akan ‘berantai’ jika ia melibatkan terlalu banyak manusia yang rosak, mati atau musnah angkara rasuah yang dilakukan.
Antara contoh dosa berantai yang boleh berlaku adalah seperti berikut:
• Jika seorang pegawai kastam atau polis bersekongkol dengan penjenayah dengan melepaskan beratus kilogram dadah dan dadah yang terlepas ke pasaran pula telah merosakkan masa depan beratus ribu penagih. Dosa itu akan terus berangkai jika seseorang penagih dadah menjadi pembunuh termasuk ke atas ahli keluarga mereka yang banyak dilaporkan.
• Seseorang pegawai penguat kuasa menerima rasuah untuk melepaskan penyeludup senjata api dan senjata itu pula digunakan oleh penjenayah untuk membunuh atau merompak, bayangkan dosa berangkai yang bakal dikongsi oleh perasuah.
• Pegawai kerajaan yang makan rasuah bersekongkol memilih sesebuah syarikat yang ada kepentingan dengan mereka untuk projek membina jambatan atau bangunan dan apabila siap, jambatan serta bangunan berkenaan tidak bertahan lama dan runtuh sehingga mengorbankan banyak nyawa manusia. Adakah pegawai yang memberi projek itu sanggup menanggung dosa berantai?
Para perasuah perlu ingat bahawa rumah dan kenderaan yang dibeli hasil daripada wang haram rasuah tiada keberkatan walaupun kita sudah bertaubat.
Adakah rumah dan kenderaan hasil rasuah akan turut dicuci bersih setelah seseorang itu dijatuhkan hukuman atau bertaubat.
Sanggupkah mereka membiarkan harta benda hasil wang haram rasuah terus dihuni oleh anak-anak setelah mereka meninggal dunia?
*Marzuki Yusoff adalah penyunting Sinar Harian