Sultan Ibrahim imbau kenangan Almarhum Paduka Ayahanda di Hari Kebangsaan
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bersempena Hari Kebangsaan ke-67 hari ini, mengimbau semula sambutan itu 38 tahun lepas ketika Paduka Ayahanda Almarhum Sultan Iskandar Ismail menjadi Yang di-Pertuan Agong.
Sultan Ibrahim telah membuat hantaran semula hantaran @bernamaofficial ke Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang memaparkan dua gambar Paduka Ayahanda Almarhum Sultan Iskandar sedang menunggang motosikal milik seorang peserta pada perarakan sambutan itu.
Gambar tersebut telah dirakamkan jurugambar Mansor Hashim.
Menurut hantaran @bernamaofficial, Yang di-Pertuan Agong ketika itu Sultan Iskandar yang terkenal dengan minatnya terhadap motosikal berkuasa tinggi, membuatkan penonton kagum apabila Seri Paduka Baginda turun dari pentas dan menunggang sebuah motosikal Kawasaki.
“Tiga puluh lapan tahun lepas, pada tahun 1986, detik yang tidak dapat dilupakan dan memikat jutaan penonton di Dataran Merdeka dan juga yang mengikuti siaran langsung perarakan Hari Kebangsaan itu di televisyen.
“Menunggang di perbarisan, Seri Paduka Baginda, Paduka Ayahanda kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, mencatat sejarah dan memenangi hati rakyat seluruh negara. #MalaysiaMemories,” menurut hantaran itu.
Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya, hari ini.
Ini merupakan keberangkatan kali pertama Seri Paduka Baginda berdua ke Sambutan Hari Kebangsaan selepas Sultan Ibrahim mengangkat sumpah dan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, masing-masing pada 31 Jan dan 20 Julai. - Bernama