Pesara guru rugi RM70,000 ditipu Macau Scam

Polis Diraja Malaysia
Polis Diraja Malaysia
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang wanita yang juga pesara guru berusia 62 tahun kerugian RM70,000 selepas dipercayai terpedaya dengan sindiket Macau Scam oleh seorang individu yang menyamar sebagai wakil Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 27 Januari lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, mangsa yang tinggal di Jitra menerima panggilan telefon berhubung tunggakan cukai LHDN berjumlah RM32,057 daripada suspek yang memperkenalkan dirinya sebagai wakil LHDN.

"Mangsa dimaklumkan oleh suspek bahawa namanya telah didaftarkan atas sebuah syarikat di Ipoh, Perak. Mangsa kemudian menerima satu lagi panggilan telefon daripada lelaki lain yang mendakwa dirinya polis yang memaklumkan syarikat berkenaan terlibat dalam sindiket pengedaran dadah.

"Mangsa diarahkan untuk memindahkan semua wangnya ke dalam akaun lain yang lebih selamat bagi mengelakkan wang simpanannya terlibat dalam aktiviti haram dan jika enggan, satu waran tangkap akan dikeluarkan terhadap mangsa dan hukuman mati boleh dikenakan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Rozi berkata, mangsa yang bimbang dan takut memindahkan wang sebanyak tiga kali secara berperingkat berjumlah RM70,000 ke dalam tiga akaun bank yang diberikan oleh suspek pada 27 dan 28 Januari.

"Mangsa sedar ditipu apabila gagal menghubungi suspek selepas selesai membuat pindahan wang dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada 29 Jan lepas dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya atau cepat panik jika menerima panggilan seumpama itu dan jika mempunyai masalah atau aduan berkaitan sindiket penipuan boleh menghubungi IPD Kota Setar di talian 04-7747222 atau tampil ke balai polis berdekatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: