Sabah kerjasama dengan China permudah proses hantar pulang rakyat

Mohd Shafie Apdal
Mohd Shafie Apdal
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah akan bekerjasama rapat dengan kerajaan China untuk memudahkan proses penghantaran pulang rakyat negara itu yang berada di Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, ini juga akan membantu usaha membawa pulang rakyat Sabah yang kini berada di China.

Beliau berkata, hubungan baik dengan pihak China itu akan diteruskan di sebalik keputusan kerajaan negeri menggantung buat sementara waktu semua penerbangan dari China ke Sabah susulan wabak koronavirus di republik itu dan penularannya di banyak negara lain di dunia.

“Jika ada rakyat Malaysia dari Sabah yang berada di China yang mahu pulang menggunakan kapal terbang dari China, itu kita bolehkan. Tetapi jika penerbangan (dari China) yang membawa pelancong China, itu kita tidak benarkan.

“Kita mengambil langkah ini untuk menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat Sabah (daripada jangkitan koronavirus),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2019 anjuran Parti Warisan Sabah Bahagian Putatan di Tanjung Aru dekat sini hari ini.

Mesyuarat Kabinet negeri pada Rabu lalu mengambil keputusan untuk menggantung sementara semua penerbangan berjadual dan sewa khas dari China ke Sabah berkuat kuasa serta-merta demi menjaga kepentingan dan kebajikan penduduk di negeri ini.

Mohd Shafie berkata, meskipun keputusan itu akan memberi kesan kepada ekonomi Sabah memandangkan pelancong China merupakan antara penyumbang terbesar kepada sektor pelancongan negeri namun kesihatan rakyat Sabah perlu diutamakan.

"Penerbangan dari China ke Sabah akan beroperasi semula selepas keadaan kembali normal," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: