Muhyiddin arah polis ambil tindakan segera kes serang Syed Saddiq

Muhyiddin - Foto Bernama
Muhyiddin - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan segera berhubung kejadian serangan sekumpulan lelaki pada majlis pertemuan sayap Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sebuah resort di Ulu Tiram malam tadi.

Muhyiddin berkata, PDRM diarah mengenal pasti individu yang terlibat untuk dibawa ke muka pengadilan.

Beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak sesekali melakukan perkara yang mengganggu gugat keharmonian negara ini.

"Mana-mana pihak yang melakukan kekacauan akan dikenakan tindakan undang-undang.

"Saya memandang serius insiden yang berlaku semasa program Rapat Umum Armada Johor semalam yang dihadiri oleh YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Ketua Armada Bersatu).

"Semasa program tersebut berlangsung, sekumpulan individu telah menyerang program tersebut dan membuat kacau sehingga program terpaksa dihentikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malam tadi, Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan mendakwa beliau bersama beberapa pimpinan Bersatu Johor diserang sekumpulan individu ketika menghadiri perjumpaan tersebut.

“Mereka semua berdiri mengepung tempat makan kami, sergah dan langgar semua tetamu yang hadir.

Artikel Berkaitan:

"Mereka laung dan pekik macam-macam kata-kata kesat, ibu bapa saya juga jadi saksi malam ini,” katanya menerusi laman Facebook.

Kekecohan tersebut memaksa Syed Saddiq dan pemimpin Bersatu lain keluar dari lokasi berkenaan menggunakan ‘jalan tikus’ dengan melompat pagar.

Ahli Parlimen Muar itu juga memaklumkan satu laporan polis dibuat Armada berhubung kejadian terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN: Dikepung 'gengster', Syed Saddiq terpaksa lari panjat pagar

Polis tubuh pasukan khas siasat kekecohan program Syed Saddiq