Syabu dalam susu tepung, gula

Timbalan Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Tawau, Kapten Maritim Mohd Yusri Hussin (kiri) menunjukkan dadah jenis Syabu yang disembunyikan dalam paket susu tepung dan gula yang ditinggalkan di Jeti Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Lama dekat sini, semalam, pada sidang akhbar di sini hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Tawau, Kapten Maritim Mohd Yusri Hussin (kiri) menunjukkan dadah jenis Syabu yang disembunyikan dalam paket susu tepung dan gula yang ditinggalkan di Jeti Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Lama dekat sini, semalam, pada sidang akhbar di sini hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

TAWAU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas 943 gram dadah dipercayai jenis syabu yang disembunyikan dalam paket susu tepung dan gula yang ditinggalkan di Jeti Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Lama dekat sini, semalam.

Timbalan Pengarah APMM Zon Tawau, Mohd Yusni Hussin berkata, taktik tersebut merupakan taktik baharu sindiket penyeludupan dadah yang berjaya dikesan oleh pihaknya.

Beliau berkata, dalam kejadian jam 8.36 pagi itu,bertindak daripada maklumat risikan menerusi Ops Pluto Timur, sepasukan anggota APMM cuba menghampiri seorang suspek lelaki di kawasan jeti berkenaan yang dilihat dalam keadaan mencurigakan tetapi suspek berkenaan melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota APMM.

“Suspek menyusup dalam kalangan orang ramai di kawasan pasar awam sebelum gagal dikesan.

“Sebelum itu, suspek dilihat meninggalkan beg sandang berwarna hitam bersama satu bungkusan plastik berwarna merah di atas jeti berkenaan," katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan awal pada bungkusan plastik merah itu menemui satu kotak makanan segera yang di dalamnya mengandungi satu bungkusan gula dan susu tepung.

"Di dalam bungkusan gula itu ditemui tujuh peket plastik lut sinar disyaki dadah jenis syabu manakala dalam bungkusan susu tepung pula 12 bungkusan plastik disyaki dadah jenis yang sama.

"Dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM141,450," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek cuba menyeludup dadah berkenaan ke negara jiran dan kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada 11 Januari lalu, APMM Tawau turut menggagalkan cubaan menyeludup 17 kilogram syabu dalam bungkusan teh Cina bernilai RM2.5 juta di kawasan pesisiran pantai Batu Payung dekat sini. - Bernama