2,102 kes baharu koronavirus di China

Keadaan pesakit yang dijangkiti koronavirus di salah sebuah hospital di China.
Keadaan pesakit yang dijangkiti koronavirus di salah sebuah hospital di China.
A
A
A

KUALA LUMPUR - China melaporkan 46 kematian baharu akibat novel koronavirus semalam, menjadikan angka kematian dicatatkan sebanyak 259 setakat ini.

Kedutaan China di Malaysia dalam status terkini yang dimuat naik media sosial Facebook hari ini menyatakan, 45 kematian baharu dicatatkan di pusat wabak berkenaan berlaku di Wilayah Hubei manakala satu kematian direkodkan di bandar Chongqing pada malam semalam.

Pada hari yang sama, China melaporkan sebanyak 2,102 kes baharu disahkan dengan 268 kes kritikal, menjadikan sebanyak 11,791 kes jangkitan disahkan setakat ini.

“Sehingga jam 12 tengah malam 31 Januari, Suruhanjaya Kesihatan Negara menerima sejumlah 11,791 kes (masing-masing kurang satu kes selepas pengesahan di Wilayah Jiangxi, Shaanxi dan Gansu) dan daripada jumlah itu, sebanyak 1,795 kes serius, 259 kematian, dan 243 orang dibenarkan keluar hospital,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, sebanyak 17,988 orang disyaki dijangkiti setakat ini. Sementara itu, seramai 136,987 keluarga pesakit sudah dikesan, 6,509 orang dibenarkan keluar daripada pemantauan perubatan dan 118,478 masih dikuarantin. - Bernama

Artikel Berkaitan: