Sekelambu tetapi tidak sebulu

A
A
A

TIDUR sekelambu tetapi tidak sebulu dan saling berseteru. Demikian halnya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dengan Zuraida Kamaruddin.

Rasa tidak sebulu itu semakin meruncing apabila Saifuddin menyaman Zuraida kerana satu kenyataan yang dianggap melampau dan biadab.

Kedua-duanya dalam parti yang sama iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menyaman berkedudukan Setiausaha Agung, yang kena saman Naib Presiden.

Kalau satu parti, sama-sama berjawatan tinggi, kenapa tidak nampak bersatu dan saling bertolak ansur? Umum melihat kedua-duanya ada ego yang melampau.

Tidak kira siapa salah siapa betul, pergeseran dua pemimpin sekelambu itu memang boleh melemahkan PKR. Buat malu anak cucu.

Cukup-cukuplah!

LEBIH malang lagi kedua-dua seteru itu juga duduk dan tidur dalam kelambu yang lebih besar sebagai kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Masing-masing berjawatan Menteri Pusat, seorang memegang portfolio Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, seorang lagi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Artikel Berkaitan:

Kalau sama parti, sama-sama menteri kanan pun saling tidak sebulu, bagaimana rakyat hendak yakin pada kerajaan sekarang?

Menteri sama, menteri saling bermusuhan macam mana hendak bekerja untuk negara? Rakyat memilih mereka saling berpadu sebagai satu pasukan, bukan untuk berlawan dan beradu kekuatan dan saman menyaman! APA pun alasan yang diberikan dengan sesama menteri jelas tidak sehaluan, rakyat semakin hilang harapan terhadap apa yang sebelum ini diuar-uarkan sebagai Malaysia Baharu.

Kalau sesama jemaah menteri tidak sepakat dan saling bercakaran bagaimana hendak meyakinkan rakyat dan pelabur asing?

Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri hendaklah bertindak segera ke atas mana-mana anggota pasukannya yang menyusahkan itu.

Kalau Tok yang jadi PM, Tok buang semua menteri yang buat hal itu. Biar dia orang terus berkelahi di luar kerajaan.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof berkata, tiada keperluan untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) menyiasat salah laku dalam Lembaga Tabung Haji (TH) semasa era pentadbiran BN.

Kata beliau, segala penyelewengan telah dikenal pasti dengan jelas melalui siasatan yang dijalankan sebelum ini, malah laporan polis juga dibuat ke atas mereka yang terlibat.

Tok rasa, kita tidak perlu buang masa dan habiskan duit untuk menubuhkan RCI. Apa yang patut disegerakan ialah melengkapkan bukti dan mengenal pasti siapa yang terlibat.

Heret mereka ke mahkamah, bicarakan segera dan dedahkan semua penyelewengan yang dilakukan selama.

Sudah lama kita bercakap mengenai tuduhan penyelewengan. Beberapa individu pun telah dinamakan dan dibawa ke mahkamah.

Tetapi sampai hari ini belum seorang pun didapati bersalah, belum seorang pun dihukum. Malah, mereka yang disyaki terlibat masih boleh tersenyum macam tidak ada apa-apa.

Sebab itu ada yang merasakan RCI patut ditubuhkan.

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke berkata, akta baharu akan dibentangkan di Parlimen untuk memperketat undang-undang mengatasi masalah pemandu mabuk.

Katanya itu perlu memandangkan pemandu mabuk semakin menjadi-jadi terutama pada musim-musim perayaan.Pada hemat Tok, tidak perlu kita buat undang-undang baharu, sebaliknya kuatkuasakan sepenuhnya undang-undang yang sudah ada selama ini.

Kita sudah ada cukup undang-undang tetapi penguatkuasaan yang lembap dan cincai-bocai. Sebab itu orang mabuk bebas memandu, penagih dadah menjadi pemandu bas.

AKHIR kalam, di seluruh dunia ketakutan melanda gara-gara koronavirus, wabak maut asal Wuhan, China yang semakin ganas itu.

Belum ada seorang pun yang maut di tempat kita setakat ini. Tetapi kita tidak boleh bernafas lega, kena hati-hati setiap masa...

TOK PERAK