Sedia korban elaun menteri demi parti - Saifuddin Nasution

Saifuddin Nasution berucap ketika merasmikan Pelancaran Jentera Pilihanraya Keadilan Kedah di perkarangan Pejabat Keadilan Kedah pada Sabtu.
Saifuddin Nasution berucap ketika merasmikan Pelancaran Jentera Pilihanraya Keadilan Kedah di perkarangan Pejabat Keadilan Kedah pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sedia mengorbankan elaunnya sebagai menteri untuk membayar deposit calon parti itu yang akan bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah.

Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau sanggup memperuntukkan sebahagian besar elaun sebagai menteri selama tujuh bulan demi membalas jasa parti didokong sejak sekian lama.

Saifuddin berkata, beliau melihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bekerja kuat namun menolak untuk menerima gaji sebagai Perdana Menteri.

"Saya fikir (bagaimana) cara saya hendak balas parti yang saya dokong sejak hari pertama. (Justeru) Pilihan raya ini macam mana, selain daripada saya hendak bagi masa, tenaga saya.

"Saya ingat saya nak ambil sebahagian besar daripada elaun saya selama tujuh bulan lepas untuk bayar deposit semua calon Keadilan Kedah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pelancaran Jentera Pilihanraya Keadilan Kedah di perkarangan Pejabat Keadilan Kedah pada Sabtu.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pilihanraya Keadilan Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufik Johari.

Saifuddin berkata, dia meminta Jentera Pilihanraya Keadilan Kedah supaya tidak menggunakan wang parti untuk tujuan pembayaran deposit calon Keadilan Kedah nanti.

Beliau berkata, sebaliknya, beliau yang akan membayar deposit calon bertanding dianggarkan RM5,000 setiap seorang yang akan bertanding dalam PRN Kedah itu.

"Jikalau, RM5,000 (duit deposit).Insya-ALLAH lepas (cukup), semua elaun saya daripada bulan Disember. Insya-ALLAH, bahagian itu saya akan lunaskan bayaran deposit untuk calon-calon Keadilan Kedah.

"Okay, yang itu (bayaran deposit) dianggap selesai, nanti pergi ambil borang dan bayar deposit lepas itu ambil resit sahaja, apabila calon berarak nanti bawa deposit sahaja," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengingatkan kerajaan negeri supaya terus mengekalkan hubungan harmoni dan baik dengan kerajaan pusat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!