Pendemokrasian Malaysia Baharu

A
A
A

SETELAH berada di bawah pemerintahan satu parti selama enam dekad, kita akhirnya menyaksikan sesuatu yang di luar jangka apabila rakyat Malaysia memilih untuk tidak lagi memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) dengan mengundi Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan baharu ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 2018.

Pertukaran rejim itu diharap membawa perubahan baharu dalam landskap politik Malaysia yang lebih terbuka, telus dan responsif berbanding sebelumnya. Namun, setelah hampir dua tahun peralihan berlaku, didapati tidak banyak perubahan yang dilakukan oleh kerajaan PH terutamanya dari aspek reformasi institusi.

Kelihatan, perubahan yang berlaku hanyalah di peringkat sistem sahaja dari pemerintahan tunggal (rule by one) kepada pemerintahan oligarki (rule by few), bukannya pemerintahan ramai (rule by many) seperti mana yang dianjurkan oleh demokrasi sebenar.

Ia dapat dilihat dalam tindakan kerajaan PH dalam isu-isu ICERD, Statut Rom, tulisan jawi dan sebagainya yang diputuskan kerajaan tanpa sebarang ruang penyertaan untuk rakyat berbincang dan menyuarakan pendapat.

Ia seolah-olah memperlihatkan bahawa kerajaan PH masih mengekalkan sistem demokrasi bersifat elit yang hanya berubah daripada pemerintahan dominan dan hegemoni ketika BN kepada pemerintahan oligarki PH.

Persoalan

Tindakan kerajaan PH yang secara unilateral membuat keputusan tanpa memberikan ruang kepada rakyat untuk terlibat sama dalam perbincangan dan membuat keputusan dalam kes ICERD, Statut Rom, jawi dan sebagainya menimbulkan persoalan adakah demokrasi di Malaysia masih lagi bersifat elit sepertimana rejim terdahulu?

Bagaimana pula dengan janji Malaysia Baharu yang menjanjikan pendemokrasian dan penyertaan aktif rakyat dalam setiap keputusan kerajaan, adakah ia berlaku dan sedang berjalan?

Artikel Berkaitan:

Sebetulnya, kita harus bertanya, apa itu pendemokrasian? Penulis berpendirian bahawa pendemokrasian ialah proses perubahan yang bercorak evolusi (dan revolusi) dalam sesebuah negara untuk menghapuskan autokrasi dan mengangkat demokrasi oleh aktor politik dari luar atau dalam rejim seperti massa, masyarakat sivil, parti pembangkang serta elit pemerintah disebabkan tekanan dalaman atau pengaruh luaran.

Huntington (1991) dan Doorenspleet (2005) secara umumnya mendefinisikan pendemokrasian sebagai proses peralihan daripada rejim bukan demokratik kepada rejim demokratik. Hal itu disandarkan menerusi kajian mereka tentang pola pendemokrasian di seluruh dunia.

Ini bermakna dimensi demokrasi yang bertunjangkan prinsip inklusif dan persaingan adalah kayu ukur bagi mengenal pasti sama ada peralihan atas nama pendemokrasian itu menghasilkan rejim demokratik atau sebaliknya. Sebab itulah, Leo Augustino (2013) menjelaskan pendemokrasian adalah transisi menuju demokrasi yang bercabang dua; pertama, transisi melahirkan rejim demokratik dan kedua, transisi melahirkan sebuah lagi rejim bukan demokratik.

Ada tiga proses pendemokrasian iaitu transformasi, penggantian (replacement) dan pemindahan (transplacement).

Dalam transformasi, aktor yang berkuasa iaitu pemerintah yang melakukan perubahan daripada bukan demokratik kepada demokratik. Ia bermakna pendemokrasian bermula dari atas ke bawah dan selalunya berlangsung di negara kerajaan yang kuat sepertimana Turki dan Kesatuan Soviet.

Kedua penggantian merujuk kepada penggulingan rejim autokratik oleh pihak pembangkang (yang boleh melibatkan parti-parti pembangkang, masyarakat sivil dan rakyat) seperti yang berlaku di Romania dan Filipina.

Ketiga, pemindahan merujuk kepada pendemokrasian melalui kerjasama di antara rejim (yang sedar keperluan untuk mendemokrasi) dengan parti-parti pembangkang, dan masyarakat sivil. Selalunya berlaku di negara-negara yang golongan pembangkangnya tidak cukup kuat untuk menggulingkan rejim sedia ada, misalnya di Poland dan Korea Utara. Sebagai pemerhati politik dan mungkin juga sama kebanyakan rakyat Malaysia yang lain, diperhatikan kesemua hujah dan angkubah yang diberikan terhadap pendemokrasian itu nampaknya tidak berlaku di negara kita.

Paling dikhuatiri, apa yang diperkatakan Leo Augustino itu mungkin timbul dan jadi kenyataan (lahir pula sebuah lagi rejim bukan demokratik).

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM)