Kerajaan digesa tarik balik keputusan laksana PPSMI

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - Akademi Sains Islam Malaysia menggesa kerajaan segera menarik balik pelaksanaan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kerana telah terbukti gagal sebelum ini.

Presidennya, Profesor Datuk Ir Dr Wan Ramli Wan Daud berkata, pihaknya kecewa dan terkejut dengan tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengumumkan pelaksanaan itu.

Menurutnya, beliau juga menolak alasan yang diberikan Dr Mahathir untuk mengembalikan PPSMI.

"Mengapa sekarang setelah melantik dirinya Menteri Pelajaran, Dr Mahathir masih berdegil untuk melaksanakan semula PPSMI walaupun PPSMI bermula 2003 dan dimansuhkan secara beransur-ansur pada 2012 telah gagal?

"Kami menolak alasan 'Sains dan Matematik datang dari luar...melalui medium Bahasa Inggeris' yang didakwa oleh Dr Mahathir untuk melaksanakan semula PPSMI. Sains dan Matematik telah diajar dalam Bahasa Melayu sejak tahun 70-an dengan jayanya tanpa sebarang masalah.

"Kami juga menolak alasan Dr Mahathir PPSMI 'tidak akan mengelirukan rakyat' tetapi sebaliknya kami yakin PPSMI akan mengelirukan murid dalam memahami sains dan matematik," katanya dalam satu kenyataan di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Subjek Sains, Matematik kembali diajar dalam Bahasa Inggeris: PM

Beliau turut menolak pandangan Dr Mahathir bahawa pembelajaran dua subjek berkenaan dalam Bahasa Melayu sukar untuk mendapat pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pengangguran graduan bukan kerana kemahiran Bahasa Inggeris tetapi kerana jumlah graduan jauh melebihi jumlah pekerjaan yang ditawarkan seperti Laporan Bank Negara Malaysia 2018.