Koronavirus: Belum ada import-eksport dengan China dihentikan

Ong Kian Ming - Foto Bernama
Ong Kian Ming - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aktiviti import dan eksport Malaysia dengan China diteruskan seperti biasa dan belum ada aktiviti perdagangan yang dihentikan setakat ini berikutan wabak koronavirus, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming.

Beliau berkata, kerajaan sedang berbincang serta membuat penyelarasan dengan pihak industri terutama dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang mempunyai pautan yang paling banyak dengan rantaian nilai global yang merangkumi China.

"Produk atau barang yang tidak bernyawa yang diimport ke dalam negara, tidak akan menyebarkan penyakit. Anda tidak akan mendapat virus dengan menyentuh barangan ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Laporan Pembangunan Dunia 2020 oleh Bank Dunia di sini hari ini.

Menurut Kian Ming, masih awal untuk mengumumkan kesan wabak terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia, tetapi jika ada ia tidak akan dicerminkan dalam keluaran dalam negara kasar bagi tempoh suku pertama.

Dari segi pengeluaran di China dalam tempoh dua minggu ini, kebanyakan kilang sama ada sudah ditutup atau berjalan pada kapasiti yang sangat rendah berikutan cuti Tahun Baru Cina.

Dalam jangka pendek, beliau tidak menjangkakan kesan negatif yang ketara ke atas ekonomi Malaysia.

"Untuk tempoh yang lebih panjang, kita perlu melihat bagaimana situasi berkenaan diuruskan di China. Kami berharap isu (koronavirus) ini akan diselesaikan dengan cepat supaya rantaian nilai global tidak akan terganggu terlalu banyak," tambahnya.

Satu lagi kes koronavirus telah disahkan pada Khamis lalu menjadikan jangkitan di Malaysia seramai lapan orang. - Bernama

Artikel Berkaitan: