Malaysia tidak akan terperangkap hutang dengan China

Anthony
Anthony
A
A
A

KUANTAN - Pelaburan China di Malaysia melalui Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) tidak akan mengakibatkan negara termasuk dalam perangkap hutang negara berkuasa besar itu, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, sebaliknya ia adalah model pembangunan dan dasar luar China untuk menyediakan peluang kepada negara membangun bagi menjayakan projek infrastruktur di negara ini.

Menurutnya, pelaburan negara itu melalui pembiayaan dalam projek berskala besar seperti Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL), Taman Perindustrian Malaysia - China Kuantan (MCKIP) dan Terminal Laut Dalam Pelabuhan Kuantan dilihat sebagai kerjasama dua hala yang strategik.

"Ini adalah pilihan kerajaan, bila kita tandatangan perjanjian, itu adalah komitmen kita kena ambil tanggungjawab untuk melaksanakan satu-satu projek.

"Apabila kita mahu laksanakan satu-satu projek, sudah tentu ada kelebihannya, kita tak boleh lihat seolah-olah satu 'perangkap' untuk kita, hutang kepada mana-mana pihak atau negara China," katanya pada sidang akhbar ketika menjawab kenyataan media Barat berkaitan amaran 'perangkap hutang' kepada negara membangunkan melalui BRI dipromosikan China sejak tahun 2008.

Sejak 2008 hingga 2021, sebanyak 22 negara membangun menjadi 'mangsa' China selepas gagal membayar komitmen hutang berjumlah USD240 bilion untuk kerja pembangunan infrastruktur di negara terbabit.

Sebelum itu, Anthony bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail hadir pada majlis tahun melabur di China (menyambut baik ASEAN) dan sambutan ulang tahun Ke-10 Penubuhan MCKIP di bawah China-Malaysia ‘Dua Negara, Taman Berkembar’ yang dianjurkan oleh Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, China di sini pada Jumaat.

Anthony (tiga dari kiri) ketika menyaksikan majlis menandatangani perjanjian memorandum persefahaman (MOU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) pada majlis tahun melabur di China (menyambut baik ASEAN) dan sambutan ulang tahun Ke-10 Penubuhan MCKIP di bawah China-Malaysia ‘Dua Negara, Taman Berkembar’ yang dianjurkan oleh Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, China di sini pada Jumaat.
Anthony (tiga dari kiri) ketika menyaksikan majlis menandatangani perjanjian memorandum persefahaman (MOU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) pada majlis tahun melabur di China (menyambut baik ASEAN) dan sambutan ulang tahun Ke-10 Penubuhan MCKIP di bawah China-Malaysia ‘Dua Negara, Taman Berkembar’ yang dianjurkan oleh Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, China di sini pada Jumaat.

Beliau menegaskan, setiap pinjaman yang diperolehi untuk melaksanakan projek infrastruktur perlu digunakan dengan secara optimum.

"Kita memang ambil pinjaman untuk (melaksanakan) projek itu, jadi kita kena maksimumkan (keuntungan) melalui projek itu.

"Umpamanya ECRL kita sekarang ini sedang memaksimumkan nilai projek ini untuk membangunkan negeri kita. Jadi kita perlu pandai menguruskan projek kita sendiri," jelasnya lagi.

Projek ECRL membabitkan kos RM55 bilion dan pembinaannya dilakukan syarikat China Communications Construction Company (CCCC), sebuah syarikat milik kerajaan China yang sedang cuba melobi kontrak Landasan Keretapi Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura.

Pembinaan landasan ECRL sepanjang 688 kilometer itu dijangka siap dan boleh digunakan pada tahun 2027.

Ditanya mengenai cadangan pembinaan lapangan terbang baharu daripada Kerajaan Pahang, Anthony mengesahkan ada terima cadangan itu.

Ujarnya, perbincangan lanjut dengan kerajaan Pahang akan dilakukan dan Kementerian Pengangkutan akan mempermudahkan hasrat tersebut.

"Kita akan cuba yang terbaik dan sudah tentu infrastruktur pengangkutan itu akan membina ekosistem pengangkutan yang penting, bila ada pelabuhan, lapangan terbang dan rel (ECRL), bukan semua negeri ada kelebihan seperti itu," katanya.