X

Kindly register in order to view this article
!

Suspek kesembilan kes gaduh ditahan

Simbolik serah terima tugas antara Samsulmuddin (kanan) dan Nik Aminuddin (kiri) sambil disaksikan Abdullah.
A
A

BACHOK - Seorang lelaki berusia 39 tahun menjadi suspek kesembilan ditahan bagi membantu siasatan kes dua individu yang maut dalam pergaduhan di hadapan di sebuah stesen minyak di Batu 31, Jalan Kuala Krai-Gua Musang, Machang Isnin lalu.

Suspek yang tidak mempunyai pekerjaan itu ditahan di daerah Pasir Puteh pada awal pagi Selasa.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mat Piah berkata, semakan rekod lampau suspek terbaru terbabit didapati mempunyai kesalahan berkaitan kes curi kabel mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 431(A) Kanun Keseksaan.

“Suspek dikenakan perintah reman selama seminggu sehingga 4 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Penahanan itu menjadikan keseluruhan tangkapan berjumlah sembilan individu termasuk seorang suspek yang cedera kerana patah kaki kanan dan sedang dirawat di Hospital Machang,” katanya selepas menyaksikan Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi Perkep Daerah Bachok di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok di sini, hari ini.

Beliau berkata, motif pergaduhan dikenalpasti masih sama seperti yang dimaklumkan sebelum ini iaitu berpunca akibat perasaan tidak puas hati berkaitan hal motosikal.

“Siasatan awal juga mendapati kebanyakan mereka mempunyai rekod jenayah lampau iaitu terbabit dalam jenayah curi dan dadah.

“Polis juga merampas sejumlah senjata tajam iaitu pisau, parang, pedang dan kayu yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu.

Dua kereta jenis Perodua MyVi turut dirampas kerana salah satunya dipercayai digunakan untuk melanggar salah seorang mangsa yang maut,” katanya.

Isnin lalu, dua lelaki berusia 39 dan 40 tahun maut dalam pergaduhan membabitkan dua kumpulan pada 12.30 tengah malam.

Susulan itu, lapan termasuk seorang anggota tentera dan pasangan adik-beradik ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Pasir Mas, Deputi Superintendan Samsulmuddin Sulaiman dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Bachok berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan itu berikutan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah dinaikkan pangkat kepada Superintendan dan akan bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Pasir Mas.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus