Kerajaan tubuh jawatankuasa khas bawa pulang rakyat Malaysia di Hubei

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika sidang media mengenai perkembangan terkini penularan jangkitan koronavirus di Kementerian Kesihatan Malaysia. - Foto BERNAMA
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika sidang media mengenai perkembangan terkini penularan jangkitan koronavirus di Kementerian Kesihatan Malaysia. - Foto BERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebuah jawatankuasa khas bagi misi bantuan kemanusiaan membawa pulang rakyat Malaysia dari wilayah Hubei, China diaktifkan hari ini susulan penularan koronavirus di wilayah berkenaan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, jawatankuasa itu diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersama dengan Kementerian Luar Negeri, Kementerian Kesihatan, Angkatan Tentera Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.

“Jawatankuasa itu bertujuan mengatur proses membawa pulang warga Malaysia dan keluarga mereka dari kota Wuhan di wilayah Hubei, China.

“Gerak misi bantuan sedang diatur dengan Wisma Putra bagi mengumpul jumlah sebenar rakyat Malaysia untuk dibawa pulang,” katanya pada sidang media perkembangan terkini isu koronavirus di sini hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, Wisma Putra turut meneruskan perbincangan dengan pihak berkuasa China berhubung misi itu.

Katanya turut menganggotai jawatankuasa itu adalah syarikat penerbangan AirAsia dan Malaysia Airlines Berhad.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kementerian akan menerima tambahan 25 mesin pengimbas suhu badan yang akan ditempatkan di 61 pintu masuk antarabangsa di seluruh negara.

Jelasnya, Kementerian Kesihatan akan terus memantau perkembangan jangkitan itu melalui maklumat yang diperoleh daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menolak tanggapan sesetengah pihak yang mendakwa KKM kurang efisien dalam menangani masalah koronavirus.

Tegasnya, KKM telah mengambil langkah proaktif, menjangkau saranan WHO.

Setakat ini, lapan individu disahkan positif koronavirus di negara ini dengan kesemua kes itu melibatkan warganegara China. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN Koronavirus: Satu lagi positif, jumlah mangsa meningkat lapan orang